Penyanyi Rock terkenal, Ella sekali lagi memecah rekod peribadinya dalam Malaysia Book of Records iaitu jumlah pemuzik paling ramai sebanyak 200 pemuzik.

Menurut Ella, acara tersebut merupakan gabungan dirinya bersama para penuntut jurusan muzik dari Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

“Alhamdulillah, sebelum ini saya berjaya memecah rekod pada tahun 2016 dengan jumlah pemuzik paling ramai sebanyak 100 orang.

“Hari ini kita berjaya mengumpulkan sebanyak 200 orang pemuzik dan ia terdiri daripada pelajar Aswara serta sekolah.

“Ini adalah acara ‘jamming ramai-ramai’ dan ia adalah bagus untuk memberi pemdedahan kedapa pemuzik muda untuk mengambil pengalaman dalam acara seperti ini,” katanya kepada Gempak.

Ella berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Ella Kitalah Bintang Rai 200 Para Pemuzik, di The Love, Matic Kuala Lumpur, pada Isnin.

Sebelum ini pada tahun 2016, Ella berjaya direkodkan dalam Malaysia Book of Records sebagai persembahan dengan jumlah pemuzik teramai pada acara selama enam minit.

Dalam perkembangan terkini, Ella akan muncul pada konsert Ella Unplugged In Kuala Lumpur yang akan berlangsung di Istana Budaya, Ella akan menyampaikan 20 lagu termasuk tiga lagu Asli.

Orang ramai yang ingin dapatkan tiket konsert Ella Unplugged In Kuala Lumpur boleh layari laman web www.proticket.com.my.

Harga tiket dijual pada RM179 hingga RM519.