Pentas Big Stage 2022 bakal bermula tidak lama lagi dan para peserta bagi program tersebut telah pun diumumkan semalam. Melihat pada nama-nama bintang Budak-Budak Baru Nak Up (BBNU) yang bakal berentap, pasti sudah ada jangkaan yang diletakkan oleh juri tetap, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan komposer lagu, Ajai.



“Kalau untuk saya, selepas menonton persembahan mereka ketika sesi memperkenalkan diri, mereka memang mempunyai cara nyanyian tersendiri. Ramai juga antara mereka yang boleh menyanyi dengan baik.

“Jadi, bertambah susah tugasan saya untuk menjurikan mereka nanti. Bagaimanapun, saya bakal menjurikan bahagian persembahan. Abang Ajai pula akan memberi fokus pada bahagian teknikal,” ujar Datuk Seri Siti Nurhaliza kepada Gempak.

Ajai pula memberitahu, ramai antara peserta kali ini boleh dikatakan lebih baik berbanding peserta tahun lepas.

“Kita tengok ramai peserta yang lebih bagus daripada tahun sebelumnya menerusi persembahan pengenalan ini. Cuma adalah dua, tiga orang yang tidak menepati jangkaan. Tapi mungkin juga kerana muzik di sini kecil.

“Kita kena nantikan apabila mereka membuat persembahan dengan muzik yang lebih besar,” katanya.

Terdahulu, penyanyi Sarah Suhairi berjaya merangkul gelaran juara sewaktu penganjuran musim pertama (2018). Bintang Korea Selatan, Han Byul muncul sebagai juara musim kedua (2019). Manakala Azzam Sham pula diangkat sebagai juara musim ketiga (2020).

Juara Big Stage 2022 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100 ribu beserta trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50 ribu dan RM25 ribu beserta trofi.

Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam juga tidak akan pulang dengan tangan kosong yang mana masing- masing bakal membawa pulang RM15 ribu, RM10 ribu dan RM5 ribu beserta trofi.

Rangkaian program Big Stage 2022 diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan akan dipancarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) mulai 6 Februari serta turut boleh turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.