Penyanyi baharu, Ika Mustafa akui tidak dapat melupakan pengalaman selepas terpaksa dikuarantin disebabkan wabak Koronavirus (2019-nCov) pada petang Ahad.

Jelas Ika kawalan di kawasan wad sangat ketat sehinggakan tidak ada orang lain yang boleh berada di situ.

“Ini memang pengalaman yang tak boleh dilupakan sangat. Masa saya ingin dibawa ke wad, kawasan yang dilalui itu langsung tak boleh ada orang lain.

“Memang tempat dia terasing. Nak ke bilik saya wajib melepasi satu bilik dulu baru boleh masuk ke bilik saya.

“Jururawat pun kalau nak cakap dengan saya akan menerusi interkom. Kalau nak periksa suhu badan, tekanan darah dan hantar makanan baru akan masuk ke ruang bilik saya dengan berpakaian khas.

“Ahli keluarga saya hanya dibenarkan untuk hantar barang di tingkat bawah saja, jururawat yang akan turun ambilkan,” katanya ketika dihubungi Gempak.



Dalam pada itu, pelantun lagu Damaikanlah menyatakan kesihatannya berada dalam keadaan baik.

“Keadaan saya macam makin sihat. Cuma sekarang ini berasa gementar sangat sebab nak tunggu keputusan sama ada positif ke tak.

“Saya sendiri tak tahu pukul berapa akan dapat memandangkan keputusan itu daripada Hospital Besar Kuala Lumpur,” katanya lagi.

Terdahulu, Ika ke Haikou, China atas urusan kerja pada 25 Januari lalu dan pulang ke Kuala Lumpur pada hari yang sama.

Ika bagaimanapun terpaksa dirujuk ke Hospital Sungai Buluh untuk dikuarantin selepas mengalami demam, batuk dan selesema kerana dipercayai pesawat tersebut turut dinaiki warga emas dari Wuhan yang berada dalam keadaan tidak sihat.