VIRAL
Jurutera Didakwa Rakam Video B*gel Bekas Kakak Ipar Guna Pen Kamera
Seorang jurutera duda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka, pada Jumaat, atas tuduhan merakam video bogel bekas kakak ipar menggunakan sebatang pen kamera di dalam tandas rumah bekas isterinya.
Bapa kepada dua cahaya mata itu membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Asyikin Rosli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa hendak mengaibkan kehormatan dan menggangu kesantunan seorang wanita berusia 40 tahun dengan cara merakam video menggunakan pen kamera tersembunyi dalam keadaan bogel.
Kesalahan itu dilakukan dalam bilik air di sebuah rumah di Tanjung Kling di sini, kira-kira jam 2 petang pada pertengahan Jun tahun lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau keduanya sekali, sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Syaza Nur Sharif memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh yang diwakili peguam Kent Tan Chow Teng merayu jaminan rendah kerana anak guamnya perlu menafkah dua anak yang masih kecil berusia dua dan empat tahun termasuk ibu bapanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 selain menetapkan 4 Jun depan sebagai sebutan semula kes.
Sinar Harian pada Isnin lalu melaporkan seorang lelaki diburu polis selepas disyaki merakamkan video isteri, kakak ipar dan anak saudara mandi menggunakan kamera tersembunyi berbentuk pen.
Tindakan jahat lelaki berusia 35 tahun itu disedari isterinya berusia 27 tahun yang terjumpa kamera pengintip di dalam beg individu terbabit di rumah mereka sebelum mereka bercerai pada Januari lalu.
Sumber berkata, wanita itu menyemak kandungan fail di dalam pen kamera tersebut antara Jun hingga Oktober tahun lalu selain membuat semakan di komputer riba suaminya secara diam-diam dan mendapati terdapat beberapa keping rakaman video dan gambar ahli keluarganya.
Lebih menyedihkan lagi pemeriksaan di telefon bimbit bekas suami juga menjumpai video rakaman kakaknya berada di dalam bilik tidur dan bilik air yang dirakam secara curi-curi.