#Justice4Adib Trending di Laman Sosial, Selebriti Turut Luah Rasa Sedih

Kamaruddin Razal
Disember 17, 2018 19:49 MYT
Pemergian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia malam tadi meninggalkan kesan mendalam terhadap seluruh rakyat Malaysia.
Adib yang parah dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu disahkan meninggal dunia pada pukul 9.41 malam semalam di Institut Jantung Negara (IJN).
Selebriti tempatan juga turut sama meluahkan rasa sedih di atas pemergian Muhammad Adib.
Artis seperti Mark Adam, Heliza Helmi, Ummi Nazeera, Datin Alyah, Norman Hakim, Saharul Ridzwan dan Fauziah Ahmad Daud antara selebriti tempatan yang berdukacita dan mendedikasikan ucapan takziah mereka menerusi laman Instagram masing-masing.
BACA: Muhammad Adib Meninggal Dunia
Menerusi pemerhatian di media sosial, hashtag #Justice4Adib menjadi trending di laman Twitter.
Netizen turut meluahkan rasa sedih atas pemergian Muhammad Adib dan berharap agar pesalah yang diberikan hukuman setimpal.
Rata-rata pengguna laman sosial menggelarkan Muhammad Adib sebagai seorang wira negara kerana terkorban selepas dipukul teruk ketika melakukan tugas berkaitan insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, bulan lalu.
#Bomba #Muhammad Adib