Laman Utama

#JusticeForBella: “Memorandum Dihantar Untuk Memastikan Keadilan Yang Telus Kepada Bella” – Betty Banafe

gempak
Fiza Kamarudin
24/08/2021
01:25 MYT
Sponsor Banner
#JusticeForBella: “Memorandum Dihantar Untuk Memastikan Keadilan Yang Telus Kepada Bella” – Betty Banafe
Pelakon Betty Banafe mengesahkan telah menghantar memorandum Gerakan Menuntut Keadilan (GMK) untuk remaja sindrom down berusia 13 tahun yang disyaki didera pada Jun lalu.
Betty ketika dihubungi Gempak berkata, memorandum tersebut telah dihantar pada Jumaat, 20 Ogos lalu oleh Lily Nurin ke Jabatan Peguam Negara, Putrajaya.
Tambah Betty lagi, tujuan memorandum dihantar adalah untuk memastikan keadilan yang telus kepada Bella.
"Pembelaan ini wajar diteruskan. Kalau bukan kita dan rakyat Malaysia yang lain, siapa lagi nak bantu dia?
“Si pelaku tidak boleh dibiarkan begitu saja. Kalau polis sudah melaksanakan tanggungjawab membuat siasatan, kita mahu perbicaraan juga berjalan dengan telus tanpa mengambil kira siapa pun pelaku.
“Apa istimewa dan kelebihan yang dia ada?," katanya.
Katanya lagi, hari ini pertuduhan yang dikenakan terhadap Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali adalah, mengabaikan seorang remaja perempuan sindrom down sehingga mengalami kecederaan pada Jun lalu.
Namun kata Betty, yang menjadi tanda tanya, siapa yang melakukan penderaan terhadap Bella.
“Kalau kita tengok ‘pengabaian’ daripada skop yang lebih besar at the end of the day kita mahu tahu siapa yang mendera Bella?
“Itu adalah satu persoalan yang harus dirungkaikan. Kalau melihat kepada kecederaan dialami Bella, tak mungkin ia kecederaan yang diwujudkan sendiri,” katanya.
Jumaat lalu Lily Nurin turut disertai beberapa aktivis masyarakat dan NGO iaitu, Persatuan Sindrom Down Malaysia, Helping Shoulder, Miss Amazing Malaysia dan Family of Charity.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua wakil NGO dari Gabungan Gerakan Keadilan Untuk Bella yang hadir ke Jabatan Peguam Negara demi memperjuangkan #JusticeForBella.
“Terima kasih kerana tampil memberi sokongan dan menunjukan keprihatinan dalam kes-kes yang melibatkan kebajikan kanak-kanak terutama anak-anak kurang upaya (OKU).
"Saya juga terharu dan berbangga dengan usaha Puan Mona Din dan Lily Nurin yang tidak pernah putus asa memperjuangkan hak Bella.
"Malah mereka juga yang turun ke Jabatan Peguam Negara, bersusah payah sehingga memorandum berjaya diserahkan,” katanya.
Jumaat lalu, Siti Bainun yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mengabaikan seorang remaja perempuan sindrom down sehingga mengalami kecederaan, membuat pengakuan tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live