Justin Bieber Jadi Datang Malaysia 22 Oktober Ini, Beliebers Teruja Bukan Kepalang!
Shahrin Zulkifle
21/07/2022 15:30 MYT
21/07/2022 15:30 MYT
Penyanyi antarabangsa, Justin Bieber bakal meneruskan konsert jelajahnya mulai Julai yang sebelum ini ditunda akibat masalah masalah wajah.
Menerusi satu perkongsian yang dimuat naik di akaun Instagram @pr_worldwide, memaklumkan penyanyi itu bakal meneruskan konsertnya bermula di Festival Musim Panas di Itali, disusuli lima persembahan di Eropah, bulan depan.
“Justin Bieber meneruskan jelajah dunia! Justin Bieber hari ini mengumumkan Justice World Tour akan disambung semula di Festival Musim Panas Lucca, Itali pada 31 Julai.
“Justin akan merentasi rangkaian festival Eropah, dan meneruskan jelajah dunia antarabangsanya dengan persembahan di Amerika Selatan, Afrika Selatan, Timur Tengah, Asia, Australia & New Zealand kemudian kembali ke Eropah pada 2023.
“22 Oktober 2022, Jelajah Dunia Justin Bieber Justice Secara Langsung di Kuala Lumpur, Stadium Negara,” jelasnya pada kapsyen.
Ini bermakna, peminat di Malaysia dijangka berpeluang menyaksikan persembahan Bieber di depan mata pada konsert yang dijangka dipentaskan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Oktober ini.
Sementara itu, peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan penyanyi berbakat itu, meluahkan rasa teruja mereka diruangan komen selepas mendapat khabar tersebut.
“King is Back.
“Yeay finally, Justin teruskan konsert.
“Bring it on bestie,” antara komen peminat.
Selain Malaysia, Justice World Tour juga akan menemui peminat di negara Asia yang lain seperti di Jakarta, Nagoya, Osaka dan Tokyo.
Lebih 100 tarikh telah diumumkan untuk konsert jelajah dunia ini sepanjang tahun 2022 hingga 2023 termasuk di Amerika Syarikat, Eropah, United Kingdom, Australia, New Zealand, Afrika Selatan, Asia dan negara Timur Tengah.
Terdahulu pelantun lagu Peaches itu memaklumkan terpaksa menunda konsert jelajahnya di Washington DC, Toronto dan New York serta diikuti beberapa siri di Amerika Utara apabila diserang sindrom Ramsay Hunt yang menyebabkan wajahnya lumpuh sebelah.
"Jelas sekali, seperti yang anda boleh lihat pada wajah saya. Mata tidak berkelip dan tersenyum dari sisi wajah. Lubang hidung juga tidak bergerak, jadi terdapat kelumpuhan pada wajah saya.
"Saya mempunyai sindrom Ramsay Hunt, berpunca daripada virus yang menyerang saraf di telinga dan muka.
"Saya tidak mampu melakukannya. Kepada peminat yang kecewa dengan pembatalan konsert berlangsung dalam masa terdekat, saya harap dapat memahami keadaan saya," jelas Bieber menerusi video yang dikongsinya pada 10 Jun lalu.
Baru-baru ini, penyebaran beberapa keping foto dirakam paparazi yang memaparkan Bieber sedang bercuti dengan isterinya, Hailey Baldwin, 25, di Coeur d'Alene, Idaho, Amerika Syarikat, yang sebelum ini lumpuh separuh wajah akibat sindrom Ramsay Hunt, semakin pulih.
Menerusi paparan foto viral itu, Bieber dan Baldwin dilihat menghabiskan masa di dalam bot persiaran pada percutian itu yang dipercayai disertai keluarga dan teman rapat mereka.
Agensi melaporkan, Bieber nampak sihat dan dipercayai sedang melalui proses pemulihan dan rawatan daripada sindrom Ramsay Hunt dengan baik.