Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Kabinet Benarkan Jenama Arak Timah Dikekalkan, Tetapi Perlulah...

Hanafis Haris
14/11/2021 03:22 MYT

Selepas dilanda pelbagai kontroversi, kabinet akhirnya bersetuju untuk membenarkan syarikat pengeluar wiski jenama tempatan, Timah mengekalkan namanya.

Perkara itu dijelaskan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Walau bagaimanapun, menurut Alexander pengeluar Timah iaitu Winepark Corporation (M) Sdn Bhd (Winepark) perlu menyertakan label tambahan pada botol wiski itu.

Menurutnya, keputusan itu adalah untuk menjelaskan nama tersebut merujuk kepada bijih timah seperti yang diusulkan oleh syarikat itu sendiri.

“Saya sudah membuat pertemuan dengan syarikat pengeluar tersebut dan berbincang bagaimana kita boleh tangani masalah ini.

“Saya kemudian membawa usul syarikat itu ke Kabinet dan Kabinet bersetuju dengannya,” katanya.

Tambah Alexander, Winepak bersedia menukar nama dan imej pada label produk namun memohon tempoh seminggu untuk berbincang dengan pemegang saham dan lembaga pengarah.

Jenama arak Timah menjadi kontroversi apabila namanya dirujuk seolah-olah nama anak perempuan Nabi Muhammad SAW iaitu Fatimah.

Gambar lelaki yang dipaparkan pada atas botol itu pula seperti seorang lelaki muslim kerana berjanggut dan memakai kopiah.

Malah, penggunaan nama itu juga dibayangkan seperti ‘meminum’ wanita Melayu oleh seorang ahli parlimen.

BACA: Alamak Ramai Tak Setuju Ideologi Jenama Arak Timah Seperti Minum ‘Wanita Melayu’? - “Habis Tu Kalau Tongkat Ali…”

Susulan itu, syarikat pengeluar arak itu menjelaskan nama jenama berkenaan merujuk kepada logam timah.

Malah, nama itu bersempena industri perlombongan bijih timah ketika Tanah Melayu ditadbir oleh British.

Gambar lelaki berjanggut dengan penutup kepala pula adalah Kapten Speedy, yang memperkenalkan budaya minum wiski pada zaman itu.

Sumber : Sin Chew Daily, MalaysiaGazette







#Arak #Timah #BijiTimah
;