Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

Kabir Bhatia, Erma Fatima Antara Calon Pengarah Filem Hasmah

Asraf Aided
09/10/2019 10:48 MYT
Pengarah terkenal, Kabir Bhatia, Erma Fatima, Osman Ali dan Faozan Rizal merupakan calon yang bakal mengarahkan filem Hasmah.

Menurut penerbit Hafiz Roslan, pemilihan empat calon pengarah tersebut adalah berdasarkan kredibiliti dan kualiti karya mereka sebelum ini.

"Semua calon pengarah dipilih berdasarkan kredibiliti dan kualiti hasil kerja mereka, masing-masing mempunyai keistimewaan sendiri.

"Saya juga ada bertanya kepada beberapa penggiat industri tempatan, ada antara nama itu yang mereka sarankan, ada juga pilihan saya sendiri,"
ujarnya.

Hafiz berkata demikian ketika ditemui di sidang media dan pra-pelancaran filem Hasmah bertempat di MATIC, Kuala Lumpur Isnin lalu.

Dalam pada itu, Hafiz berkata, penyenaraian nama Faozan yang berasal dari Indonesia itu tidak perlu dijadikan isu kerana ia masih belum mendapat kata putus.

"Saya sudah berjumpa Faozan, namun keputusan masih belum dibuat, lagipun pihak kami akan adakan perbincangan bersama Tun M terlebih dahulu, keputusan akan dibuat selepas berbincang bersama beliau," tambahnya.

Filem terbitan Tune Production Sdn Bhd ini merupakan biopik mengenai perjalanan hidup serta kisah romantis isteri kepada Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah dan suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Penggambaran akan bermula pada bulan Mac 2020, ia dijangka menjengah pawagam pada hujung tahun hadapan.
#Erma Fatima #Hasmah #Kabir Bhatia
;