“Kacak Akan Jadi Penaung Yang Hebat” - Mahu Kembali Ke Dunia Bola Sepak, Datuk Vida Percaya Mampu Selamatkan The Red Warriors
Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida akui sedih melihat keadaan Kelantan FC yang semakin suram dalam Liga Super.
Disebabkan itu juga, Vida percaya dirinya mampu menyelamatkan The Red Warriors daripada terus tenggelam.
Mengesahkan niatnya untuk kembali ke dunia bola sepak Pantai Timur itu, Vida memberi gambaran bahawa andai hasratnya tercapai, anak lelakinya iaitu Eric Zaquan atau dikenali sebagai 'Kacak' akan memainkan peranan utama selaku penaung kelab.
"Kelantan telah berkali-kali tukar pemilik, sampai bila nak duduk di tahap ini sahaja dan siapa pula boleh bawa bola sepak Kelantan ke tahap lebih selesa.
"Saya belum lagi bertemu Zamsaham (pemilik semasa, Norizam Tukiman). Liga sudah bermula, ada lima bulan lagi untuk habiskan musim ini.
"Saya ada dana untuk pelan 10 tahun akan datang tapi jika dana ini hanya untuk tutup hutang sekarang ini, saya rasa ada masalah sikit,” katanya.
Dalam pada itu, Vida menyatakan bahawa Kacak berkebolehan menjadi penaung yang hebat.
"Kali ini kami tidak akan buat sekadar kemudian hanya untuk lepaskan. Kami nak buat macam seorang bayi yang akan dibesarkan.
“Saya dan Kacak banyak berbincang, kami juga mendapatkan pandangan beberapa jurulatih.
“Satu penaja dan satu lagi penaung yang hebat. Kacak akan jadi penaung yang hebat dan saya di belakang tabir sahaja.
"Kesian bola sepak, nak tengok apa kalau lihat macam jaguh kampung,” jelasnya.
Untuk info, Vida sebelum ini pernah mewarnai Liga Malaysia (Liga M) pada musim 2015 dan 2016 selepas menaja TRW dengan nilai RM16 juta selama dua musim termasuk mengecat Stadium Sultan Muhammad IV dengan warna merah jambu.