HIBURAN

"Kadang-Kadang Saya Takut Sebab Nak Beri Yang Terbaik ..." - Ismail Izzani Gementar, Dipilih Wajah Utama Kempen Adidas Originals

Umirah Halim 13/04/2025 | 11:55 MYT
Adidas Originals Malaysia melancarkan kempen terbarunya yang dinamakan “The Original”, satu inisiatif untuk menyokong generasi muda yang membawa perubahan dalam muzik, fesyen dan budaya.

Kempen ini mengetengahkan semangat keaslian dan keberanian untuk menjadi diri sendiri. Ia juga menampilkan koleksi barangan ikonik seperti Superstar II, Handball Spezial, Samba OG serta pakaian Firebird Tracksuit, yang terus menjadi pilihan peminat dari dulu hingga kini.

Kempen ini menampilkan Ismail Izzani dan kumpulan DOLLA sebagai wajah utama. Kedua-dua artis ini dipilih kerana semangat mereka yang selari dengan nilai adidas Originals — berani mencuba, membawa idea baru dan kekal dengan identiti sendiri.

Berkongsi pengalaman dalam kempen ini, penyanyi Ismail Izzani menyatakan rasa teruja dan penghargaan atas peluang berkolaborasi dengan adidas Originals.

“Ini adalah kolaborasi saya bersama adidas Originals. Mereka fokuskan koleksi Superstars, dan dalam masa yang sama mahu tegakkan muzik dan hiburan. Saya rasa teruja, semua orang sangat supportive, bekerja dengan mereka sangat senang.

“Kadang-kadang saya takut sebab saya nak beri yang terbaik terutamanya kalau ada show, tapi dengan situasi saya yang kurang sihat ini, saya bersyukur semuanya berjalan dengan lancar,” ujarnya ketika ditemui Gempak pada majlis Kempen Musim Bunga/Panas 2025 Adidas Originals.

Selain itu, menerusi kempen ini, adidas Malaysia juga berkerjasama dengan kafe, House of Wheat untuk membuka The Original Lounge — sebuah ruang khas yang direka untuk menyokong muzik dan artis tempatan. Ruang ini bukan sekadar pop-up store, tapi juga tempat untuk komuniti kreatif berkumpul, berinteraksi dan berkongsi inspirasi.

Sebagai pelengkap untuk kempen ini, pengarah dan pereka visual terkenal Thibaut Grevet telah menghasilkan sebuah filem pendek yang mengetengahkan kekuatan individu dalam memberi inspirasi kepada orang ramai.

Filem ini membawa mesej bahawa perubahan besar boleh bermula daripada satu orang sahaja — dan itulah makna sebenar "The Original".

Filem ini turut diiringi lagu klasik "Only You (And You Alone)" oleh The Platters, sebagai simbolik kepada tema utama: hanya satu individu diperlukan untuk memulakan sesuatu yang luar biasa.

#Ismail #Kempen #Gementar #Adidas Originals #Izzani