Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Hiburan

Kafe Dipecah Masuk, Diana Danielle Rugi RM20,000

Ahmad Shah 26/05/2016 | 08:04 MYT
Pelakon jelita Diana Danielle Danny Beeson mengalami kerugian kira-kira RM20,000 kerana kafe miliknya bersama tiga rakan kongsi, Born & Bread dipecah masuk.

Kejadian tersebut berlaku pada hujung tahun lalu semasa proses pengubahsuaian kafe itu sedang berlangsung.

“Sebelum kafe dibuka, bangunan kafe menjalani proses pengubahsuaian terlebih dahulu. Ketika proses itu berlangsung, ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah memecah masuk ke dalam kafe dan mereka mencuri barang-barang pembinaan.

“Anggaran kerugian yang dialami adalah sebanyak RM20,000. Namun begitu, perkara tersebut tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan proses pembukaan kafe ini,” kata Diana kepada Astro Gempak.

Merupakan kolaborasi bersama tiga orang rakannya, Arslan Zolkifli, Farhana Osman dan Khalil Firuz, kafe Born & Bread terletak di berdekatan dengan Hentian Bas Pekeliling, Jalan Pahang.

“Alhamdulillah, walaupun melalui beberapa cabaran, kafe ini telah selamat dibuka. Saya sendiri mengalu-alukan kedatangan pengunjung ke kafe kami. Kafe ini menyediakan makanan yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat,” katanya lagi.

Mengambil masa dua tahun untuk merealisasikan impian dalam membuka kafe, Diana bersyukur kerana suaminya, Farid Kamil menyokong penuh usahanya dalam melibatkan diri dalam dunia perniagaan.

“Selepas dua tahun merancang, akhirnya apa yang kami impikan menjadi nyata. Saya juga bertuah kerana Farid memberikan sokongan tidak berbelah bahagi untuk saya ketika saya memutuskan mahu membuka kafe bersama rakan kongsi yang lain. Saya berharap agar usaha kami dalam membangunkan kafe ini menerima maklumbalas positif daripada pengunjung,” katanya mengakhiri perbualan.

Kredit foto: Instagram @bornandbreadkl, @dianadanielleb & Fixin' Art Creation

#Diana Danielle
;