Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Kagum Rakyat Pantas Hulur Bantuan, Ayda Jebat Turut Sama Salur Sumbangan Ringankan Beban Mangsa Banjir

Izwan Isa
22/12/2021 23:50 MYT
Keprihatinan rakyat dalam membantu mangsa-mangsa banjir baru-baru ini dilihat memberikan impak yang cukup luar biasa dalam menyantuni nasib sesama sendiri.

Tidak kurang dengan itu, barisan selebriti dan jenama-jenama besar juga dilihat sama-sama berganding bahu dalam meringankan beban mereka yang terlibat dengan musibah banjir.

Bagi penyanyi dan pelakon Ayda Jebat, usaha yang dilakukan oleh rakyat Malaysia telah mencetuskan rasa kagum dalam dirinya dan sekaligus berharap dan berdoa agar mereka yang telah memberikan bantuan sentiasa dirahmati Allah.

A post shared by KISU (@kisu.asia)


"Saya sangat sebak dan bangga dalam masa sama melihat rakyat Malaysia berganding bahu menghulur bantuan atas usaha mereka sendiri.

"Satu semangat sebenar yang menyentuh hati dan membuktikan rakyat negara ini bersatu hati dan saling membantu antara satu sama lain bila berlaku musibah," katanya.

Selain itu, Ayda turut melahirkan rasa bangga terhadap rakan selebriti yang turut sama turun padang dalam memberikan bantuan kepada mangsa banjir antaranya seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Alha Alfa dan Datuk Hattan.

Menurut penyanyi lagu Pencuri Hati itu, masing-masing boleh memainkan peranan dan membantu semua masyarakat yang banyak menyokong kerjaya seni mereka.

Akuinya, dia sendiri melakukan sedaya mungkin dalam usaha meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir.

"Kadang-kadang tak perlu tunggu kaya atau berharta untuk membantu. Bantuan boleh dilakukan dalam apa cara termasuk doa.

"Saya tabik dengan semua pihak. Ada yang bersedia sumbangan tenaga membantu menjadi sukarelawan," katanya.

Difahamkan Ayda turut sama menyalurkan sumbangan kepada beberapa kempen bantuan yang dijalankan antaranya #TanganSembunyi yang menyumbangkan makanan kepada Pusat Pemindahan Sementara berkaitan.



Dalam pada itu, menerusi hantaran Instagram Storynya, Ayda turut berpesan supaya tidak pergi ke lokasi mangsa-mangsa banjir semata-mata untuk content di media sosial. Katanya, janganlah ambil kesempatan dalam kesempitan dan kesusahan orang lain.
#Ayda Jebat #Banjir #Bantuan
;