Penyanyi berbakat, Shiha Zikir kagum dengan semangat segelintir artis senior yang gigih berusaha mencari pendapatan, meskipun sedang dihimpit detik sukar pandemik COVID-19.

Menurut Shiha, mereka tidak ego dan ada yang membuat persembahan secara dalam talian sebagai cara mendapatkan wang.

"Saya sangat sedih memikirkan nasib segelintir artis yang terkesan dengan pandemik ini.

"Tetapi, apa yang saya nak puji, ada juga artis-artis yang dah otai tapi tak ego untuk buat persembahan live di media sosial, dari situ orang ramai yang menonton boleh menderma.

"Mereka tidak meminta-minta, padahal boleh saja mereka terus minta derma dari orang ramai, mereka tetap berusaha sebaik mungkin," katanya kepada Gempak.

Bercakap mengenai kerjayanya ketika ini, Shiha yang juga seorang pelakon akui ada beberapa projek tertangguh ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ada beberapa projek yang tertangguh, ada sebuah drama yang belum sempat habis penggambaran diikuti beberapa filem menunggu masa untuk ditayangkan.

"Selain itu, saya juga merancang untuk tampil dengan beberapa lagu termasuk yang melibatkan kolaborasi dengan penyanyi lain, Insya-Allah saya akan kongsikan lebih lanjut apabila semuanya sudah pasti nanti," katanya menutup bicara.

Baru-baru ini, Shiha memenangi kategori Best of Asian - Pop dalam acara InterContinental Music Awards (ICMA) yang berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Kemenangan itu diraih menerusi lagunya yang turut menampilkan Noki K-Clique berjudul AEWO.

BACA: Menang Anugerah Di Luar Negara, Shiha Zikir Terima Ucapan Tahniah Daripada Artis & Komposer Los Angeles!

Foto: Instagram Shiha Zikir