UNDI TOP 5 GEMPAK MOST WANTED AWARDS SEKARANG!
Berita

Kahwin Campur Makin Popular

Gempak 31/01/2025 | 15:55 MYT
Tahun Baharu Cina yang disambut Rabu lalu kini bukan sahaja dirayakan masyarakat Tionghua tetapi juga diraikan individu pelbagai kaum dan agama khususnya yang terlibat dalam perkahwinan campur dengan etnik tersebut.

Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan perkahwinan dengan etnik berbeza semakin mendapat tempat sama ada perkahwinan Islam mahupun bukan Islam.

Berdasarkan Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2024, sebanyak 6.2 peratus daripada keseluruhan 188,100 perkahwinan pada 2023 adalah perkahwinan antara pengantin lelaki dan perempuan yang berbeza kumpulan etnik.

“Bilangan perkahwinan antara etnik meningkat 28 peratus daripada 14,028 pada 2022 kepada 17,956 pada 2023.

“Komposisi perkahwinan antara etnik bagi orang Islam adalah 48.8 peratus manakala orang bukan Islam 51.6 peratus,” kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut mengenai fenomena itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, trend perkahwinan campur semakin popular mencerminkan kepelbagaian budaya dalam kaum dan memupuk semangat perpaduan.

“Jika dahulu ramai yang akan menentang perkahwinan campur terutamanya melibatkan pasangan bukan Islam dan Islam kerana bukan Islam perlu menukar agama mereka sebelum berkahwin menyebabkan keluarga tidak boleh menerimanya.

“Namun sekarang ramai yang tidak kisah malah dapat menerima secara terbuka.

“Ia bukan sahaja mencerminkan penerimaan budaya antara dua keluarga tetapi juga secara tidak langsung mereka mengamalkan kepelbagaian budaya, seperti perayaan dan adat kedua-dua kaum disambut bersama-sama,” katanya.

Bagi pasangan Datuk Seri Dr Steven Mok dan Datin Seri Asha Steven, mereka tetap meraikan Tahun Baharu Cina bersama ahli keluarga dalam suasana meriah biarpun mendiang bapa Steven yang berketurunan Cina sudah lama meninggal dunia.

Malah pasangan dengan tiga cahaya mata itu turut meraikan Deepavali berikutan ibu Steven berketurunan India.

Steven bagaimanapun berkata, sambutan Tahun Baharu Cina adalah keutamaan keluarga mereka sejak dahulu lagi sekali gus mengekalkan adat serta budaya dan susur galur keturunan keluarga mereka.

Menurut Steven, adik-beradiknya turut menemani dan meraikan perayaan itu bersama saudara-mara yang berketurunan Cina dan India termasuk ketika acara makan besar di rumahnya di Klang.

Beliau menambah, perkahwinan campur antara kaum di negara ini menjadi simbolik perpaduan yang unik bangsa Malaysia kerana ia dibina menerusi ikatan cinta dan perkahwinan.

Sumber - Sinar Harian

#Tahun Baru Cina #Kahwin Campur
;