Penyanyi dan komposer muda Ariff Bahran tidak berselindung mengenai kisah cintanya kerana baginya tiada apa yang perlu disembunyikan.

Malah, Ariff mengakui sudah mengenali gadis dikenali sebagai Myra Ridzuan yang bekerja dalam produksi penerbitan lebih setahun lalu.

Ariff berkata, dia dan Myra serius dalam menjalin hubungan mereka dan keluarga juga sudah tahu mengenai perkara tersebut.

"Dia memang kekasih saya dan perkongsian foto dibuat dalam Instagram itu adalah penjelasan hubungan kami yang serius.

“Lagipun, keluarga sudah tahu dan saya fikir tidak menjadi masalah untuk memuat naik foto bersama di Instagram," katanya.

Penyanyi lagu Kata Akhirmu dan Juara Dusta ini berkata, dia sememangnya tidak akan membelakangkan keluarga.

Bercerita mengenai kesediaan berkongsi kisah cinta, Bahran berkata, dia tidak kisah kerana memang sudah bertemu kekasih hati.

"Saya tidak suka terlalu berahsia. Jadi, apa yang dikongsi dalam Instagram itu adalah sepatutnya dan berpada-pada.

“Apa tanggapan orang, saya tak kisah pun kerana keluarga lebih mengetahui. Cuma, doakan yang terbaik buat kami," katanya.

Ditanya sama ada dia akan menamatkan zaman bujang pada usia muda, Bahran berkata, paling utama dia perlu stabilkan kewangan.

"Saya belum terfikir lagi untuk berkahwin kerana harus fokus untuk memantapkan kerjaya yang baru berusia dua tahun ini.

"Perjalanan kerjaya saya masih jauh dan banyak perkara perlu dilakukan. Saya tidak mahu terburu-buru," katanya.

Bercerita mengenai kekasihnya itu, Bahran berkata, kekasihnya tidak cemburu, sangat memahami dan bersikap profesional.

"Dia pun tahu semua gosip saya selama ini yang dikaitkan bercinta dengan Sissy Imann dan Sarah Suhairi.

“Alhamdulillah, dia boleh terima dan terus menyokong kerjaya saya. Mungkin juga kerana kami bekerja dalam bidang yang sama," katanya.

Selain akan muncul dengan lagu baru berjudul Tiga Kucing, Bahran kini mempertaruhkan lagu duet bersama Sarah Suhairi iaitu Bicara Rasa.

Muzik video rasmi lagu Bicara Rasa yang dimuat naik di YouTube sejak tiga bulan lalu mencatat 2.2 juta tontonan.

Sumber: Harian Metro