Berita
“Kahwin Tak Semestinya Bahagia!”- Kerana Cinta Gegar, Anna Aljuffrey Takut Nak Bercinta
Penyampai radio Gegar, Anna Aljuffrey, 29, akui tidak mudah mempercayai lelaki untuk dijadikan suami selepas pernah mengalami kekecewaan dalam percintaan.
Malah, Anna yang kini mengendalikan segmen Gegar Malam seorang diri berkata, dia lebih bimbang untuk berumah tangga selepas mendengar pelbagai pengalaman buruk orang yang berkahwin.
“Saya bukan tak mahu bercinta tapi belum berjumpa dengan calon yang sesuai yang betul-betul meyakinkan saya dalam menjalinkan hubungan yang lebih serius.
“Tambahan pula, sekarang saya baru sahaja ditukarkan ke Gegar Malam dan mengendalikan segmen Cinta Gegar yang mana saya telah mendengar pelbagai masalah dan konflik cinta serta rumah tangga orang ramai.
“Terus-terang, saya jadi seram pula nak berkahwin kerana dari cerita seorang pemanggil ini membuatkan saya berfikir kahwin tak semestinya bahagia.
“Bagaimanapun, seronok juga bila dengar kisah cinta dan pengalaman mereka dan ia sesuatu benda yang baru buat saya,” katanya kepada Gempak.
Menurut Anna lagi, dia yang sudah tiga tahun menceburi bidang penyampaian radio itu kini mahu membina nama dan kerjayanya supaya lebih dikenali.
“Saya bukan tak mahu kahwin tapi sekurang-kurangnya saya mahu capai sesuatu yang membanggakan sebelum saya berumah tangga.
“Lagipun, saya sudah tiga tahun dengan radio tapi rasanya belum cukup dikenali ramai.
“Saya mahu jadi penyampai radio yang dikenali dan dikagumi seperti Linda Onn dan Farah Fauzana. Saya sedang menanti peluang itu,” katanya lagi.
Anna yang meminati sukan permotoran itu keudara di Gegar Malam setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam.