Anda seorang yang boleh duduk terperap di rumah atau tidak?

Jika anda berasa gelisah sekiranya tak keluar rumah sehari, kemungkinan besar anda sebenarnya tergolong dalam golongan ekstrovert.

Dalam keadaan semasa yang mana kita semua berdepan dengan pandemik virus Covid-19, individu yang mempunyai keperibadian ektrovert inilah yang perlu dibimbangkan sebenarnya!

Hal ini kerana, berdasarkan kajian bersama yang dilakukan Universiti Cambridge, Columbia dan Harvard, keperibadian seseorang dikatakan mempengaruhi kebarangkalian individu tersebut untuk terus kekal di rumah ketika berlakunya sesuatu pandemik.

Pasukan penyelidik daripada ketiga-tiga universiti tersebut membuat tinjauan ke atas 101,000 orang di 55 negara bagi mengetahui sama ada mereka akan duduk di rumah disebabkan wabak koronavirus dari hujung Mac hingga awal April lalu.

Kajian yang berjudul How Personality and Policy Predict Pandemic Behavior: Understanding Sheltering-in-Place in 55 Countries at the Onset of COVID-19 itu mendapati ekstrovert merupakan golongan yang paling kurang cenderung untuk mengikut garis panduan untuk kekal duduk di rumah.

“Ekstrovert suka bergaul dan peramah. Bagi mereka, ia sesuatu yang sukar untuk terperangkap di rumah dan tidak berjumpa dengan orang lain.

“Terdapat berkemungkinan besar untuk mereka melanggar perintah berkurung berbanding dengan orang yang mempunyai jenis keperibadian lain,” kata Friedrich Götz, seorang penyelidik PhD di Jabatan Psikologi University of Cambridge.



Justeru, bagi mendorong kepatuhan menyeluruh agar rantaian Covid-19 dapat diputuskan, penyelidik mencadangkan agar pihak berkuasa merangka pesanan berhubung kesihatan awam yang lebih khusus kepada golongan ekstrovert dalam kalangan masyarakat.

“Peraturan yang ditetapkan kerajaan sangat mempengaruhi tingkah laku masyarakat.

“Bagaimanapun, kami perlu menyedari bahawa bukan semua orang akan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Ekstrovert berdepan dengan cabaran ketika berlakunya pandemik kerana kemungkinan untuk mereka duduk di rumah adalah paling tipis,” kata Gotz.

Sehingga kini, semua kerajaan di peringkat global bertungkus-lumus mengawal pandemik Covid-19 daripada terus menular dengan mengenakan prosedur operasi standard (SOP) seperti amalan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, kerap mencuci tangan selain pelaksanaan perintah berkurung.

Sementara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri turut menasihati rakyat di negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) supaya mematuhi SOP yang ditetapkan agar jika ingin mendapatkan semula kebebasan.

Ismail Sabri berkata, dengan mematuhi SOP dan terus mengamalkan kawalan kendiri, rakyat boleh membantu mempercepatkan penamatan perintah PKPB yang dilaksanakan.

Setakat semalam (21 Oktober 2020), keseluruhan sebanyak 22,957 kes positif direkodkan di negara ini dengan 199 kematian.

Sehingga kini jumlah kumulatif kes positif global Covid-19 pula mencatatkan 40,818,555 kes manakala angka korban pula mencatatkan 1,125,388 kes.

Sumber: Astro Awani
Kredit foto: Detik.com