Penyanyi jolokan Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris sedang merancang untuk menyatukan artis-artis di bawah satu pertubuhan yang menjaga hak dan kebajikan mereka.

Menurut pemilik nama lengkap Nor Aniza Idris, 53, perkara itu masih dalam proses untuk mendapatkan kelulusan dan akan diumumkan kelak.

"Sebelum ini saya selalu usaha dan lakukan inisiatif sendiri pergi ke pihak berkuasa seperti kementerian dan sebagainya tapi tidak mendatangkan hasil. Industri pun ada kehendak tertentu dari aspek nilai komersial dan sebagainya.

"Jadi, saya merancang untuk wujudkan satu pertubuhan khas agar hak dan kebajikan artis Irama Malaysia dijaga.

"Ia akan diberi nama Pertubuhan Industri Penerbitan dan Artis Rakaman Irama Malaysia yang memfokuskan kepada artis-artis Irama Malaysia tidak kiralah tradisional, dangdut dan sebagainya," katanya.

Noraniza berkata demikian ketika ditemui di Majlis Menandatangani Perjanjian MOU antara Noraniza Idris Venture Sdn Bhd dengan C2JOY di ibu kota baru-baru ini.

Kata penyanyi lagu Awallah Dondang itu, dia telah mendapat sokongan daripada artis Irama Malaysia dan beberapa universiti tempatan dalam usaha mewujudkan pertubuhan berkenaan.

"Setakat ini, artis-artis Irama Malaysia dan beberapa universiti telah memberikan sokongan dan nasihat, Insya-Allah sekarang sedang tunggu kelulusan dari Jabatan Pertubuhan Pendaftaran.

"Saya rasa sudah tiba waktunya artis-artis Irama Malaysia bersatu di bawah satu bumbung pertubuhan dan sama-sama bersungguh dalam membangkitkan Irama Malaysia di negara kita dengan sepenuh hati," katanya lagi.

Dapatkan berita terkini, cepat dan mudah, langgan saluran Telegram Gempak!

Dah undi artis kegemaran korang di AME2021? Klik banner di bawah untuk mengundi.