HIBURAN
Kak KM Bina 10 Lot Rumah Untuk Golongan Kurang Berkemampuan, Bantu Ringankan Beban Mereka Yang Baru Mula Bekerja - “Saya Pernah Hidup Susah….”
Usahawan terkenal Kak KM terus memperlihatkan sifat pemurahnya dengan melancarkan inisiatif membina 10 lot rumah untuk disewakan kepada golongan kurang berkemampuan, terutama bagi mereka yang baru mula bekerja di Kuala Lumpur.
Kak KM atau Liana Rosli menjelaskan bahawa projek ini merupakan salah satu cara untuk dirinya membantu mereka yang mengalami kesulitan hidup seperti yang pernah dirasainya dahulu.
Menurutnya, rumah-rumah ini akan menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk mereka yang mencari peluang hidup baru di ibu kota.
“Rumah itu mungkin sesuai untuk mereka yang baru mula bekerja di Kuala Lumpur. Sekarang ini dalam proses pembinaan. Di masa akan datang saya rancang nak bina 10 lot rumah lagi.”ujarnya.
Kak KM juga berkongsi bahawa pengalaman hidup susah yang pernah dialami membantunya lebih memahami perasaan orang yang sedang menghadapi kesulitan.
Malah, percaya bahawa membantu mereka yang memerlukan adalah satu cara untuk meringankan beban hidup orang lain.
“Saya pernah hidup susah dan tahu bagaimana perasaan orang yang melalui nasib sama, dengan cara sebegini saya dapat bantu ringankan beban mereka,” ujarnya.
Projek pembinaan ini kini sedang dijalankan di Gombak dan dijangka akan siap sepenuhnya pada hujung tahun ini.