Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedahkan yang beliau ada memberi nasihat serta panduan kepada dua beradiknya, Siti Sairah dan Siti Saida yang kini sedang menyertai sebuah pertandingan nyanyian.

Menurut Siti, sedari awal beliau sudah berpesan agar Sairah dan Saida sentiasa berlapang dada, terutama dengan komen-komen yang diberi juri dan juga kritikan daripada netizen.

“Memang daripada awal sudah beritahu mereka, bila masuk pertandingan, kena hadap komen-komen juri, selain komen netizen. Saya tanya dah ready ke? Tapi mereka kata okey sahaja… jadi saya pesan jangan fikir sangat. Ambil yang mana positif dan betulkan mana salah. Mereka masih dalam proses belajar.

“Ada juga saya nasihatkan terutama bila nak pilih lagu. Jangan pilih lagu susah-susah lah… Pilih lagu yang ikut kemampuan. Tapi saya faham, mereka pilih lagu pun untuk mempelbagaikan corak persembahan. Jadi tak ada masalah,” katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu, Siti menjelaskan, adik dan kakaknya turut berguru dengan guru vokal terkenal, Cikgu Shafi sepanjang penglibatan mereka dalam pertandingan tersebut.

“Sebenarnya mereka ada belajar vokal dengan Cikgu Shafi. Jadi saya tengok mereka betul-betul serius mahu belajar sebab buat banyak preparation. Saya pun berilah tips juga sebab mereka pun pernah ada pengalaman dalam industri, cuma dah lama tak nyanyi.

“Kak Ida (Saida) masih ada stage fright. Kadang-kadang kami nyanyi simple pun dia punya gugup lain macam. Sairah pula harung sahaja,” ujar Siti lagi.

Menyentuh mengenai karier nyanyian, Siti berkata, dia kini dalam proses memilih lagu-lagu terbaik untuk dimuatkan dalam album terbaharunya kelak.

“Daripada beberapa puluh lagu yang diberi kepada saya, kita dah pilih 15 karya. Masih nak shortlist kan sehingga 10 buah lagu. Kita nak cari sesuatu yang lebih fresh dari segi muzik. Tapi saya tak boleh lari daripada ‘Siti Nurhaliza’ yang orang suka… seperti lagu-lagu balada.

“Macam Prasasti Seni dulu banyak komposer muda yang menyumbang lagu. Tapi kali ni campur. Ada yang baru hingga saya belum sempat untuk kenal dan ada juga yang senior.

“Proses pemilihan turut melibatkan pihak Universal Music Malaysia yang turut bertindak sebagai rakan kolaborasi untuk album nanti,” ujar Siti yang masih lagi belum mempunyai tarikh akhir bagi pelancaran ubat rindu peminatnya itu.

Dalam perkembangan lain Siti juga tercalon dalam Gempak Most Wanted Awards 2022 menerusi kategori Artis Digital Tergempak.

Undi Siti, bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.