KILAUAN EMAS 2025

Kakak Sulung Pernah Meraung Di Pasar Raya Dengar Lagu Arwah Achik Spin - “Reda Tapi...

Mya Amri 08/08/2025 | 05:00 MYT
Bintang Kilauan Emas 2025 (KE 2025), Nurul Azua Md. Shari yang juga merupakan kakak kepada Allahyarham Achik Spin, akui masih menangis apabila mendengar lagu nyanyian arwah adiknya.

Meraung dengar lagu arwah Achik


Menurut Nurul, biarpun selepas 15 tahun pemergian arwah, namun kehilangannya masih terasa hingga ke hari ini.

"Saya reda tetapi setiap kali dengar nyanyian Achik terus timbul rasa hiba, malah kalau lagunya dimainkan di radio terus saya tutup.

“Pernah di sebuah pasaraya lagunya diperdengarkan, saya terus meraung. Sampai sekarang pun saya elakkan (dengar) hingga ada yang bertanyakan perkara ini.


“Bukan tak nak dengar, cuma saya memang sedih. Tak boleh langsung. Ini kerana kami sembilan beradik sangat akrab.

“Dulu emak kerja ikut shift, jadi saya jaga adik-adik di rumah. Masa umur enam tahun saya dah pandai masak. Kiranya sayalah kakak, sayalah ibu," ujarnya.

Nurul berkata demikian ditemui pada sidang media KE 2025 di Hotel Summit USJ, baru-baru ini.

Sedia bawa lagu pelbagai genre

Dalam pada itu, mengulas mengenai penyertaannya dalam KE 2025, Nurul berkata sudah sedia berdepan cabaran membawakan lagu pelbagai genre.

"Apabila memasuki pertandingan sebegini, kita tak dapat jangka apa-apa tapi apa pun saya akan cuba melakukan yang terbaik.

"Sebenarnya kalau bawa lagu rancak tak terasa sangat, ada lah juga saya nyanyi berduet dengan anak tapi dendangan sedih macam Tragedi Cinta, Benang Emas memang saya tak nyanyikan lagi.


"Sebab dua lagu itu adalah kisah dia. Jadi perasaan kita pun terusik sama," ujarnya.

Selain Nurul, 11 lagi bintang KE 2025 adalah Zanie, Shah, Kinar, Mazleen, Majid, Leeza, Ben, Ezan, Zekrai, Nawary dan Vijay.

Terdahulu, Achik atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md. Shari menghembuskan nafas terakhir pada 17 April 2010 selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Kajang Seremban Sdn Bhd (LEKAS).

Allahyarham dilaporkan mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian anggota badan akibat kemalangan tersebut.

Untuk info, program ini dikendalikan oleh personaliti popular Elly Mazlein selaku hos utama, bersama Joey Daud selaku pengacara belakang pentas dan hos Diari Kilauan Emas.

Barisan juri pula mengekalkan primadona Malaysia, Erra Fazira sebagai juri tetap, digandingkan bersama pelawak Roy Azman dan juri terbaharu bersuara emas, Ning Baizura.

Kilauan Emas 2025 akan bersiaran pada 16 Ogos 2025, setiap Sabtu, jam 9 malam di Astro Prima (Saluran 105).

Musim kali ini turut memperkenalkan Zarul Husin sebagai hos Spotlight yang akan membawakan info-info menarik selepas konsert berlangsung dan bersiaran pada jam 11.30 malam di Astro Prima.

Manakala Keanu Azman dan Sarah Karmila pula diberi tanggungjawab sebagai hos Live+.

Kilauan Emas 2025 turut boleh distrim secara fleksibel menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Box, Astro GO dan aplikasi sooka.
#Kilauan Emas #Achik Spin #Nurul #Kilauan Emas 2025 #Kakak Achik Spin #KE 2025