Kakak kepada usahawan terkenal, Datin Vivy Yusof didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebentar tadi atas pertuduhan pecah amanah wang RM200,000 milik sebuah syarikat.

Memetik laporan Kosmo Online, tertuduh Intan Safina Yusof ,40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Mengikut pertuduhan Intan Safina sebagai salah seorang pengarah di Syarikat Arena Abadi Sdn. Bhd. yang diamanahkan dengan wang RM200,000 telah memindahkan wang itu dalam ke akaun Public Bank miliknya dari akaun syarikat berkenaan.

Tertuduh menggunakan wang tersebut bagi kegunaan diri sendiri dan melanggar arahan undang-undang yang menetapkan cara bagaimana amanah itu disempurnakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Tun Sambathan 3, Brickfields di sini 25 Januari hingga 28 Februari 2019 yang didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub menawarkan jumlah jaminan RM50,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun peguam Diar Isda Yazmin Ismail yang mewakili tetuduh memohon jumlah ikat jamin yang rendah dengan alasan tertuduh tidak bekerja.

“Anak guam saya merupakan ibu empat orang anak berusia tiga hingga 14 tahun dan selepas kejadian tertuduh sudah tidak bekerja. Suaminya pula bekerja dalam sektor pelancongan yang mana pada waktu sekarang sektor ini mengalami kesulitan ekoran pandemik,” katanya.

Tambah Diar Isda dalam kes ini, penjamin yang akan menjamin tertuduh adalah bapa mertuanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Sabariah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin selain pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Ogos depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Sumber: Kosmo Online