Usahawan popular, Rozita Ibrahim mendedahkan bahawa dirinya sering mengalami masalah kembung dan bengkak pada anggota badan selepas mengambil beberapa makanan berasaskan gandum dan kekacang.

Ekoran keadaan itu, Rozita yang juga ibu kepada ahli perniagaan Datuk Seri Aliff Syukri itu kemudian menjalani pemeriksaan kesihatan dengan melakukan ujian darah bagi mengenal pasti penyebab kepada masalah dirinya itu.

"Terkejut dengan ujian keputusan darah. Setiap orang masuk umur 40-an lebih lagi pada yang berusia 50-an macam-macam penyakit datang.

"Meskipun saya sihat dari penyakit lain, tapi saya alergi makanan yang sering saya makan.

"Rasa pelik kenapa kaki bengkak contohnya makan kekacang, cekodok atau roti. Selepas saya buat ujian darah baru saya tahu yang saya alergi kepada roti (gluten)," katanya menerusi satu hantaran di Instagram.

Jelasnya lagi, dia tidak menyangka makanan yang sering menjadi juadah hariannya itu kini tidak boleh lagi dinikmati sewenang-wenangnya seperti kelaziman.

Katanya jika diambil mudah perihal alergi tersebut, ia akan memudaratkan badan termasuklah kemungkinan untuk mendapat penyakit lain.

"Respons imuniti dan antibodi terhadap protein seperti penyakit Celiac. Ia akan menjadi reaksi antibodi sangat serius yang boleh menyebabkan sesak nafas, bengkak dan pengsan," katanya.

Selain itu, katanya, antara makanan lain yang tidak boleh diambilnya berikutan alergi termasuklah gula pasir, anggur hitam, epal merah, bawang putih, terung dan keledek.