Hiburan
Kalahkan Taylor Swift, Billie Eilish, Ariana Grande, Sabrina Carpenter Menang Album Pop Terbaik Grammy 2025
Penyanyi dan pelakon Sabrina Carpenter berjaya membawa pulang anugerah Album Vokal Pop Terbaik di Grammy Awards 2025 yang berlangsung pada 2 Februari di Los Angeles.
Kemenangan tersebut merupakan hasil kejayaan albumnya Short n’ Sweet, yang dilancarkan pada tahun 2024.
Sabrina menewaskan pesaing hebat dalam kategori tersebut, termasuk Ariana Grande, Billie Eilish, Taylor Swift dan Chappell Roan, sekaligus membuktikan pengaruh besar dalam dunia muzik pop.
Dalam ucapannya, Carpenter turut mengucapkan terima kasih kepada Recording Academy, peminatnya, Island Records dan ibunya, yang banyak berjasa dalam perjalanan karier muziknya.
"Saya betul-betul tak sangka! Semua artis yang dicalonkan adalah kegemaran saya, dan saya masih tak percaya saya boleh berada di bilik ini bersama mereka. Ini adalah Grammy kedua saya, jadi saya rasa nak menangis.
"Anda tak tahu betapa saya sayangkan album ini dan betapa besarnya maknanya bagi saya," ujar Carpenter dengan penuh emosi.
Selain kemenangan itu, sebelum acara utama, Carpenter turut memenangi anugerah Persembahan Solo Pop Terbaik menerusi lagu "Espresso", sekali lagi menewaskan nama besar seperti Beyoncé, Billie Eilish, Chappell Roan dan Charli XCX.
Malam tersebut menjadi lebih istimewa apabila Carpenter tampil membuat persembahan bertenaga, membawakan lagu "Please Please Please" dan "Espresso".
Carpenter memasuki anugerah Grammy tahun ini dengan enam pencalonan utama, termasuk Album Terbaik, Lagu Terbaik, Rakaman Terbaik, dan Artis Baharu Terbaik.
Walaupun tidak membawa pulang kesemua trofi, kejayaannya tetap membuktikan pengaruh besar dalam industri muzik global.
Sumber: Yahoo.com