Hiburan
"Kalau 50 Helai Baju Simpan Untuk Sentimental Value Dah Tak Kena Tu" - Salima
Penyanyi Salima Habibi punyai pendiriannya sendiri mengenai penyimpanan pakaian, barang-barang dan makanan hingga berlebihan di rumah.
Kata Salima, seelok-eloknya barangan yang berlebihan itu dijual, disedekahkan atau dibuang (seandainya sudah tidak elok).
"Sekadar berkongsi, macam baju anak-anak, apabila sudah tak muat saya akan keluarkan dan asingkan dari dalam almari, masukkan dalam beg plastik atau paper bag.
"Mana boleh bagi kawan-kawan, mana boleh bagi saudara mara, saya akan serahkan pada ibu saya.
"Sentimental value? Bolehlah kalau nak simpan sehelai dua... tapi kalau 50 helai baju simpan untuk sentimental value dah tak kena tu," katanya.
Bagaimanapun, Salima menasihati golongan ibu yang sedang merancang untuk mendapatkan cahaya mata yang ramai untuk menyimpan pakaian bayi bagi mengelakkan pembaziran.
"Tapi untuk yang rajin beranak, simpanlah baju baby yang boleh guna untuk mana-mana jantina tu, sebab bukan semua orang ada kelebihan untuk asyik beli baru kan.
"Bukan baju anak-anak sahaja, baju-baju kita baju suami, handbag, kasut, pinggan mangkuk, buku-buku dan segala-galanya.
"Yang kita pakai hari-hari pun Allah akan tanya, yang tak guna pun Allah tanya," tambahnya.
Peringatan Salima itu sedikit sebanyak memberikan kesedaran kepada pengikutnya untuk tidak berlebih-lebihan mengumpul harta hingga menyebabkan pembaziran.
Malah, ada yang mendapatkan penjelasan lanjut mengenai cara menyimpan barangan pusaka dan peninggalan insan yang telah meninggal dunia.