Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah mencuri tumpuan rakyat jelata apabila menikmati santapan roti tempayan di sebuah gerai di Pekan, Pahang.

Menerusi laman sosial Istagram Istana Negara, foto-foto Tuanku dikongsi untuk tatapan umum.

“Semasa dalam perjalanan dari Program Ziarah Kurniaan Ampun Kasih ke Kompleks Asnaf MUIP, Sungai Soi, Pahang, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkesempatan singgah menikmati santapan roti tempayan di Daerah Pekan, Pahang," tulis pengendali akaun tersebut sebagai kapsyen.



Kelihatan Tuanku begitu santai dan tidak kekok duduk di atas kerusi plastik serta menggunakan pinggan-mangkuk yang disediakan di gerai itu.

Malah menerusi Twitter, dua remaja lelaki yang turut makan di belakang meja Tuanku turut memaklumkan Tuanku membayar roti tempayan yang mereka nikmati dan sempat bergambar sebagai kenangan.

Rata-rata wargamaya begitu menyenangi peribadi Tuanku yang cukup merendah diri dan mesra rakyat.

“Daulat Tuanku.. Rakyat berbangga memiliki seorang YDPA berjiwa murni & berhati rakyat. Semoga ALLAH SWT melindungi Tuanku sekeluarga sentiasa hendaknya. Patik harap akan dapat duduk semeja macam ni dengan Tuanku,” tulis seorang wargamaya.



“Di sebalik gambar ini aku dapat bayangkan brader-brader yang lalu lalang dan jadi pelanggan juga tapi sebenarnya bodyguard untuk Tuanku,” kata seorang wargamaya.

“Nampak macam roti tempayan dekat area balai bomba Pekan. Situ memang sedap. Lama tak pergi Pekan,” komen seorang wargamaya.

“Truly Malaysian dan down to earth. Daulat Tuanku,” puji seorang wargamaya.

“Tuanku okay je, dari dulu macam orang biasa. Rakyat je buat Tuanku serba salah dengan protokol,” kata seorang wargamaya lagi.

Sehingga kini, foto tersebut telah mendapat hampir 50,000 tanda suka daripada wargamaya.