Berita
"Kalau Anak Saya Degil Dan Salah, Dendalah Cikgu" - Issey Beri 'Lampu Hijau' Kepada Guru
Pelawak dan penyampai radio, Issey memberikan keizinan kepada guru yang mengajar untuk mendenda anaknya sekiranya terdapat kesalahan yang dibuat.
Issey, atau nama sebenarnya, Fazlisham Mat Hussin, 33, berkata, dia mengakui tindakan guru mendenda murid tidaklah lebih daripada sekadar mahu mendidik pelajar.
"Wahai guru-guru yang mengajar anak saya, kalau anak saya degil dan salah, dendalah cikgu. Saya izinkan.
"Saya jadi orang pun sebab cara guru saya dulu mendidik dan denda ketika salah. Alhamdulillah," tulisnya menerusi satu posting yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Perkongsian Issey itu kemudian mendapat pelbagai respons dalam kalangan pengikutnya.
Rata-rata bersetuju dengan apa yang diperkatakan Issey itu.
"Betul tu, saya siap pesan kat cikgu kalau anak saya buat salah dendalah apa-apa jenis pun, pukul atau rotan lah dia demi kebaikan dia.
"Arwah ayah saya selalu pesan kat cikgu, 'kalau anak saya degil malas rotanlah, dendalah anak saya'. Guru umpama ayah dan ibu kita di luar rumah," tulis sebahagian komen netizen.
Semalam, sebuah video yang memaparkan seorang ustazah diminta merangkak di dalam kelas oleh penjaga muridnya menjadi tular.
Difahamkan, ibu kepada muridnya itu bertindak demikian selepas mengetahui anaknya dikenakan denda yang sama.
Issey mendirikan rumah tangga dengan Noor Aimi Mohamed Jamel pada Disember lalu.
Menerusi perkahwinan itu, Issey mempunyai tiga orang anak tiri hasil perkahwinan pertama isterinya itu.
Terdahulu, Issey pernah berkahwin dengan Syuhadaa Syafiqqa Abdul Rashid, namun mereka tidak dikurniakan cahaya mata sebelum bercerai pada Ogos 2016 selepas setahun bersama.
Must-Watch Video