Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Kalau Awak Anak Saya, Malu Tak Ada Emak Macam Saya?" - Bonda Rozita

Amri Hassan
03/10/2022 04:25 MYT
Ada pelbagai cara untuk usahawan atau pengasas produk tempatan memasarkan jenama masing-masing, salah satunya dengan teknik 'publisiti murahan'.

Namun, bagi pengasas Jamu Ratu Malaya, Bonda Rozita Ibrahim, status sebagai ibu membuat beliau malu untuk membuat kandungan luar batasan di media sosial demi mencari populariti seterusnya menaikkan jualan produknya.

Ibu kepada usahawan popular, Datuk Seri Aliff Syukri itu berkata, beliau juga tidak mahu memalukan anak-anaknya dengan tindakannya itu selain membuat dirinya menyesal dengan perbuatan tersebut di kemudian hari.

"Kalau awak anak saya, malu tak ada emak ada macam itu? Sudah tentu malu dan kalau kita sebagai anak malu, dan emak tidak malu, itu bukan satu yang bagus untuk generasi muda.

"Dan saya pula bersaing dengan orang berakademik dan mereka tahu saya tidak berpendidikan. Jadi di mana saya hendak letak maruah, sudahlah bodoh, tidak sekolah dan tunjuk perangai bodoh.

"Itu bukan setakat bodoh tapi bodoh dan bangang. Nampak macam bahasa laser tapi itu fakta," katanya.

Tambah Rozita lagi, maruah dirinya perlu dijaga apatah lagi tidak memiliki pendidikan kerana tidak bersekolah demi untuk bersaing dengan mereka yang memiliki akademik yang tinggi.

Beliau berkata demikian selepas menganjurkan Bonda Fiesta Vaganza selama dua hari bermula Sabtu lalu yang dihadiri lebih 3,000 pengunjung di Batang Kali, Selangor.

Rozita telah berkecimpung dalam dunia perniagaan herba tradisional sejak dari tahun 1997 dan masih meneruskan perniagaannya sehingga hari ini termasuk memiliki resort dikenali Rumah Hutan Bonda Rozita Ibrahim di Batang Kali.

Sebagai pengasas Sendayu Tinggi dan kini pengasas Jamu Ratu Malaya dan Deratu, perkongsian beliau di media sosial sering memberi inspirasi kepada ramai wanita yang ingin menjadi ahli perniagaan yang berjaya sepertinya.

Wanita Melayu jangan jadi hamba wang

Berkongsi nasihat, Rozita berharap, usahawan wanita Melayu dan Muslim tidak merosakkan nama mereka hanya kerana mengejar keuntungan semata-mata dan menjadi hamba wang.

Jelas Rozita lagi, walaupun mempunyai niat menghiburkan orang lain di media sosial, ia tidak manis apatah lagi dilakukan orang golongan wanita sekiranya hendak dibandingkan dengan lelaki.

Tambahnya, nasihat itu tidak ditujukan kepada sesiapa kerana keturunannya juga tidak terlepas melakukan perkara yang sama.

"Sayang kerana kita orang Melayu dan beragama Islam dan jangan rosak nama bangsa kita, hanya kerana duit yang sekeping kertas. Bila hari tua, awak akan malu tengok aksi awak semula.

"Saya tidak cakap orang lain sebab keturunan saya pun buat benda yang sama juga. Walaupun niat mereka menghiburkan tetapi kalau lelaki elok lagi, tapi kalau kita wanita? Orang hina Melayu, Islam buat macam ini. Malu saya dan jangan kerana duit kita jadi hamba," kata wanita yang bakal mencecah usia 60 tahun ini.

A post shared by ROZITA JRM OFFICIAL (@bondarozitaibrahim)


Jangan tunjuk kaya berlebih-lebihan

Pada masa sama, Rozita menegaskan mereka yang berjaya dalam perniagaan bidang bisnes tidak wajar menunjukkan secara berlebihan kejayaan mereka kepada umum.

Jelas beliau, ini kerana golongan itu terutama yang masih muda akan hilang fokus dan tidak bersiap sedia dengan simpanan kewangan kukuh kerana terlalu menurut nafsu dan emosi.

"Saya pernah lalui zaman kejatuhan ekonomi, sangat teruk sebab baru mulakan bisnes. Ini kerana setiap 10 tahun akan ada fasa kemelesetan ekonomi di negara ini.

"Jadi kita kena sentiasa kita bersiap dan tidak menuruti emosi atau nafsu syafwat kerana manusia selalu kalah dengan emosi gara-gara gangguan dalaman oleh syaitan.

"Bila kita terlebih menunjuk akan menyebabkan hilang fokus dengan bisnes. Bila tidak ada kewangan kukuh dan bisnes untukk menunjuk-nunjuk tapi sebenarnya bisnes adalah bertahan dan bukan tunjukkan kejayaan kita.

"Bila ada kewangan yang stabil dan apa yang berlaku, Insya-Allah tidak akan jatuh. Bagi yang hendak cuba perniagaan, usia bukan penghalang. Tapi kalau umur sudah pencen, saya nasihatkan jangan berniaga kerana semangat sudah lemah ketika itu," katanya.

#Viral #Datuk Seri Aliff Syukri #Usahawan #Jamu #Bonda Rozita #Rumah Hutan #Sendayu Tinggi
;