HIBURAN
“Kalau Benda Boleh Saya Sorok Kenapa Tidak?” - Emma Maembong Masih Belum Rancang Fasa Seterusnya Dengan Dj Kidd
Pelakon, Emma Maembong mendedahkan bahawa jejaka yang digosipkan dengannya,i DJ Kidd sudah beberapa kali bertemu dengan ahli keluarganya termasuk anak-anak.
Namun, jelas Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 33, semua pertemuan itu berlaku secara kebetulan dan bukan dirancang secara rasmi.
“Setakat ini, kebanyakan pertemuan antara dia dan anak-anak, ayah serta adik-beradik saya berlaku secara tak sengaja.
“Kalau kata merancang untuk jumpakan dia dengan seluruh ahli keluarga saya, setakat ini memang tak ada lagi ke arah itu,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama Seadanya Kita terbitan VIU, semalam.
Mengulas lanjut mengenai hubungan mereka, Emma menjelaskan dia lebih selesa mengenali DJ Kidd secara perlahan tanpa sebarang tekanan atau terburu-buru.
“Kita berkenalan dulu, tak perlu terburu-buru. Saya pun dah pernah berkahwin sebelum ini, jadi kita kenal-kenal dulu.
“Setakat ini belum terfikir lagi sampai ke fasa-fasa seterusnya. Lagipun saya ada anak-anak dan keluarga.
“Saya juga takkan war-warkan mahupun menidakkan hubungan kami. Sebaliknya biarlah Allah tentukan arah jodoh kami,” ujarnya.
Sebagai seorang yang sangat menjaga privasi, Emma juga lebih selesa untuk tidak berkongsi soal peribadi di media sosial.
“Kenapa saya tak muat naik kehidupan peribadi di laman sosial kerana bagi saya kisah hidup saya tak penting dan tak mendatangkan apa-apa faedah untuk orang tahu.
“Tapi kalau ada orang yang nak muat naik, saya tak boleh nak halang dan saya tak marah. Mungkin hidup saya dikelilingi orang yang suka berkongsi aktiviti di laman sosial.
“Saya seorang yang sangat privasi, kalau benda boleh saya sorok kenapa tidak? Lagipun ini bukanlah satu benda untuk dibanggakan,” katanya tenang.
Ahad lalu, kehadiran Emma bersama DJ Kidd di acara Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025) kembali menjadi bualan netizen apabila mereka dilihat berjalan beriringan di karpet merah. Malah, DJ Kidd turut memuat naik gambar bersama Emma yang anggun dalam gaun hijau dan korset merah jambu.
Sebelum ini, timbul gosip mendakwa mereka sudah berkahwin selepas beberapa gambar percutian bersama tular di media sosial. Namun, Emma tampil menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan tiada ikatan rasmi antara mereka.
Untuk rekod, Emma pernah mendirikan rumah tangga bersama juruterbang, Muhammad Shazli Azhar pada Februari 2020 namun bercerai pada Oktober 2024. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Shariq Gabriel, 5, dan Shakil Aryan Shah, 2.
Dalam perkembangan lain, Emma bakal muncul dalam drama arahan Feroz Kader iaitu Seadanya Kita.
Seadanya Kita mengisahkan Alani, seorang ibu tunggal sedang membina semula kehidupannya bersama anak lelaki bernama Iqi selepas ditinggalkan oleh suami.
Ketika hidupnya mula kembali stabil, kehadiran bekas suami selepas lima tahun, mula mengganggu ketenangan yang Alani kecapi.
Dalam masa sama, Alani (lakonan Emma) bertemu dengan Kerol, penyanyi rock muda yang masih bergelut dengan masa silamnya. Apa yang bermula sebagai hubungan profesional, perlahan-lahan bertukar menjadi satu perasaan yang lebih mendalam apabila Kerol menemui ketenangan dalam keluarga kecil Alani.
Selain Emma, drama Seadanya Kita turut dibintangi pelakon Mierul Aiman, Shahz Jaszle dan Ara Johari.
Drama 15 episod ini akan ditayangkan secara eksklusif di platform Viu Malaysia bermula 7 Ogos, setiap Khamis dan Jumaat.
Must-Watch Video