Kalau Bollywood Ada Kabhi Kushi Kabhi Gham, Di Malaysia Ada Bisik Pada Langit! Serius, Bawalah Tisu Banyak-Banyak...

Fiza Kamarudin
September 12, 2017 14:12 MYT
“Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayahanda berkorban nyawa...”
Bait-bait lagu Allahyarhamah biduanita negara, Datuk Sharifah Aini ini pasti akan menjelma di kepala sebaik sahaja anda menonton filem terbaru Kabir Bhatia Angkat berjudul Bisik Pada Langit (BPL).
BPL merupakan sebuah naskah air mata yang mengangkat kisah agung seorang ayah terhadap anak perempuan kesayangannya.
Pelakon berpengalaman, Jalil Hamid, diberikan tanggungjawab memegang peranan utama dalam menjayakan filem ini sebagai ayah manakala pelakon popular, Ummi Nazeera, memegang watak seorang anak yang cukup ditatang serta dikasihi sepenuhnya oleh ayahnya.
Pelakon hebat, Beto Kusyairy, turut tampil memegang watak penting sebagai abang di samping Datin Fadilah Mansor, yang melakonkan watak sebagai ibu.
Percaturan Kabir Bhatia menampilkan kesemua nama-nama hebat untuk naskah ini dilihat berjaya apabila barisan pelakon berjaya menjiwai watak masing-masing yang pasti mampu mengusik hati penonton.
Buktinya, penonton yang telah menonton sendiri BPL pada majlis tayangan eksklusifnya baru-baru ini rata-ratanya gagal mengawal rasa sebak dan menangis tersedu-sedan!
Hebat penangan BPL yang memaparkan pengorbanan Rosli (Jalil Hamid) sebagai seorang ayah yang sangat menyayangi anak perempuannya dan sanggup menunaikan segala kehendak permata hatinya ini bagi memastikan kebahagiaan dikecapi beliau pada setiap masa. Siti Hajar (lakonan Ummi Nazeera) merupakan satu-satunya anak perempuan dari tiga beradik.
Sumber: Facebook Marr Mohamad
Nilaikan sendiri! Jika pengarah popular seperti Haji Zeel dan pelakon Rozita Che Wan boleh menangis tersedu-sedan, rasa-rasanya BPL mampu membuatkan panggung di seluruh tanah air tenggelam dengan air mata!
Tak percaya? Salah seorang penonton BPL menyesal tidak meminta tisu lebih daripada penganjur sebelum masuk ke dalam panggung. Hmmm...salah siapa? Jangan kata kami tak payung!
Sumber: Twitter @akmalariff2

Sumber: Instagram @diyanaariffin

Selain Jalil Hamid, Ummi Nazeera, Beto Kusyairy dan Fadilah Mansor, BPL turut menampilkan pelakon Erwin Dawson dan Naim Daniel.
BPL bakal ditayangkan serentak di pawagam seluruh negara pada 21 September ini, jangan lupa bawak tisu banyak-banyak okay!

#Filem #Ummi Nazeera #Filem #Bisik Pada Langit