BERITA
"Kalau Buat Pembedahan, Tak Boleh Menyanyi Selama Enam Bulan & Suara Berubah" - Ismail Izzani
Penyanyi Ismail Izzani mengakui masih belum terfikir untuk melakukan pembedahan sakit tonsil yang dialami sejak kecil lagi.
Ismail atau nama sebenarnya Nur Ismail Izzani Zainal Nazeri, 18, berkata, dia tidak mahu mengambil sebarang risiko jika melakukan pembedah pada masa terdekat ini.
"Saya mengalami masalah sakit tonsil ini sejak kecil lagi tetapi paling teruk saya kena Oktober tahun lalu dan ditahan dalam wad selama dua minggu.
"Doktor ada beri nasihat untuk lakukan pembedahan namun saya masih mahu cuba menjalani rawatan biasa dahulu.
"Jika saya lakukan pembedahan kemungkinan saya kena rehat daripada menyanyi selama enam bulan selain suara berubah.
"Jadi saya fikir sekarang bukan masa yang sesuai dan mama pun tidak paksa untuk buat pembedahan," katanya kepada Astro Gempak.
Ismail berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro 2018 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, pada Isnin.
Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi
Must-Watch Video