Pihak polis dilaporkan sedang memburu dua lelaki meloloskan diri daripada kawat duri dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Pantai Dalam yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Video berdurasi 2 minit 5 saat yang tular sejak semalam di media sosial memaparkan dua lelaki membuka baju sebelum masing-masing menyelinap keluar daripada bawah pagar kawat berduri yang dipasang di sekeliling PPR terbabit.

Sebaik berjaya menyusup keluar, kedua-duanya yang dipercayai penagih dadah itu dilihat memanjat pagar PPR dan melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pantai.

A post shared by Iesya Toh (@iesya_toh)


"Sepasukan anggota polis kini menjalankan operasi mengesan dan menangkap kedua-dua suspek yang dipercayai penagih dadah.

"Buat masa ini suspek belum dapat ditangkap dan semakan mendapati mereka melarikan diri ke arah kawasan sungai di bahagian belakang PPR terbabit," katanya dalam sebuah kenyataan.

Mengulas lanjut, Anuar berkata pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengambil tindakan membaiki kerosakan yang berlaku pada kawat duri akibat tindakan dua lelaki itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan PPR Pantai Ria serta Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam dikenakan PKPD bermula Khamis lalu hingga 14 Julai depan.