“Kalau Dari Dulu Kerajaan Malaysia Buat, Takdalah Teman Hisap Rokok” - Jamal Abdillah Sokong RUU Kawalan Produk Tembakau & Merokok

Izwan Isa
Ogos 4, 2022 04:50 MYT

Penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah memuji dan menyambut baik tindakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) kawalan produk tembakau dan merokok bagi golongan belia.

Menerusi perkongsian video di Instagram, Jamal yang dilihat sedang bersantai dengan tiga anak-anaknya berkata, dia pasti tidak akan merokok jika kerajaan melaksanakan larangan yang serupa sejak dahulu.
Katanya, RUU kawalan produk tembakau dan merokok yang sedang diusulkan itu mampu memberikan masa depan yang lebih cerah terhadap anak-anaknya.

“Ingat senang ke kita nak buat RUU tembakau tu? Dah beribu tahun orang hisap rokok. Kalau dari dulu lagi kerajaan Malaysia buat, takdalah teman hisap rokok.
“Ni dah 64 tahun teman hisap rokok, dada dah bersarang dah. Tapi YB KJ, saya memang rasa mike (kamu) beranilah. Mike (kamu) cukup berani untuk bawa isu RUU tembakau ni demi masa depan deme (mereka) ni, anak-anak teman.
“Teman (saya) sokong 100 peratus. Bawa isu ini ke parlemen dan kalau diluluskan, alhamdulillah. Lagi satu, lepas ni jangan lupa RUU jual arak pula. Okey, YB KJ I love you I salute you,” katanya.
Terdahulu, Dewan Rakyat bersetuju mengemukakan usul RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen.
Perkara itu diputuskan dan diluluskan oleh Ahli-ahli Parlimen selepas dibahas seterusnya digulung oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

#Jamal Abdillah #RUU Kawalan Tembakau & Merokok