Gaya Hidup
"Kalau Dia Tak Ada Bersama, Tahun Lalu Mungkin Jadi Sangat Berbeza" - Sharifah Aleya
Pelakon, pengacara dan bekas penyampai radio, Sharifah Aleya mengakui dia melalui perjalanan yang agak getir di dalam hidupnya hampir sepanjang tahun 2020.
Namun, dia bersyukur apabila dihadirkan seorang peneman yang sangat memahami dirinya yang juga merupakan pembantu rumahnya.
Melalui satu entri yang dikongsikan di Instagram miliknya, Sharifah Aleya berkongsi kisah pembantu rumah yang dipanggil Kak Tamah.
"Gambar ini diambil menggunakan telefon Kak Tamah, yang berada di tengah di dalam gambar ni bersama dengan semua orang yang dia pernah jaga.
"Dia bekerja dengan Mama dan Papa ketika saya hamil kembar Aza dan Asha 11 tahun dulu dan menjaga saya sepanjang pantang," tulis Sharifah Aleya atau lebih mesra dengan panggilan Leya dalam Bahasa Inggeris.
Tulis Leya lagi, Kak Tamah menjaga dirinya bersama kembar yang dilahirkannya itu sebelum pulang ke kampung halaman setahun kemudiannya.
"Dia kembali lebih setahun yang lalu dan terus menjadi 'Makhik' pada Ayaan dan Ali, menjaga mereka seperti anak sendiri seperti mana dia menjaga Aza dan Asha.
"Dia menjadi peneman saya hampir sepanjang tahun 2020. Kami lalui pelbagai perkara bersama, menangis, ketawa, kutuk mengutuk dan menjaga antara satu sama lain.
"Jujur saya boleh katakan, tahun lalu mungkin jadi sangat lain jika dia tidak ada bersama. Alhamdulillah dengan perancangan Yang Maha Esa. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui. I love you Kakak!", tulis Leya lagi.
Sharifah Aleya yang juga merupakan anak sulung kepada pelakon hebat Fatimah Abu Bakar dan Syed Zainal Rashid Al-Yahya pernah berkahwin dengan pemuzik Ashraf Aasimuddin. Perkahwinan mereka hanya bertahan selama lima tahun dan dikurniakan dengan sepasang kembar.
Perkahwinan keduanya dengan Mohammed Azam Abdullah pula dikurniakan dengan dua orang cahaya mata lelaki, Ali dan Aayan.
Kredit Gambar: Instagram Sharifah Aleya