Laman Utama
“Kalau Ini Penipuan, Buat Apa Saya Nak Seksa Diri Untuk Bela Orang Dari Kasta Rendah” - Caprice
Penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan Caprice mengesahkan sudah memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung laporan dibuat pendakwah Ebit Lew mengenai fitnah melampau di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Selangor, semalam,
Menurut Caprice, dia mempunyai segala bukti kukuh berhubung pendedahan gangguan seksual yang dihadapi pempengaruh Indonesia, Mondy Tatto.
Malah Caprice juga memaklumkan dia telah meminta pempengaruh itu menandatangi perjanjian sebelum dikongsikan podcast kendaliannya kepada umum baru-baru ini.
Advertisement
"Semalam, saya, Mondy dan beberapa staf hadir memberi keterangan di IPK Shah Alam yang memakan masa selama enam jam.
“Kami memberi keterangan bersandarkan pengisian podcast yang tular. Hari ini ada kakitangan saya lagi yang sedang memberi keterangan mereka.
“Seramai empat staf telah dipanggil. Setakat ini kami tunggu saja perkembangan lanjut.
"Selain membuat laporan polis dan menghantar Mondy menjalani ujian psikiatrik profesional, kami turut meminta Mondy menandatangi perjanjian yang mengesahkan semua dakwaan berhubung gangguan seksual itu benar,"jelasnya.
Caprice berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran suplemen lelaki ThorX bertempat di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam pada itu, Caprice juga turut menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan pihaknya sengaja mereka cerita mengenai hal tersebut.
Kata Caprice, pihaknya tidak mempunyai sebab untuk membayar Mondy semata-mata untuk membuat tuduhan palsu atau menjatuhkan mana-mana pihak.
"Kali ini kami tidak memberi ruang untuk mana-mana pihak dengan mudah mengatakan kami menipu.
“Ketika kali pertama Mondy tiba di Malaysia, kami sudah pun rakam perbualan secara senyap kerana waktu itu pun dia sudah mula berkongsi serba sedikit tentang apa yang dilalui.
"Kalau saya nak reka, takkan saya nak rakam senyap-senyap. Lebih baik saya suruh dia berlakon di hadapan kamera saja.
“Kalau fikir secara logik saya nak membayarnya, lebih baik saya cari mangsa yang masyarakat mudah percaya seperti wanita bertudung, alim, atau penghafaz Al-Quran. Itu lagi mudah masyarakat nak percaya.
"Tapi wanita yang saya bantu ini bertatu dan kasta rendah di Indonesia. Buat apa saya nak seksa diri, keluarga untuk bela orang yang dari kasta rendah,"katanya.
Pada Isnin, Ebit Lew tampil membuat laporan polis dengan mendakwa berlaku fitnah melampau terhadapnya dirinya.
Ebit Lew menerusi hantaran di Instagramnya memaklumkan laporan polis itu dibuat sebaik tiba dari Jeddah, Arab Saudi kira-kira 12 tengah malam.
Laporan polis itu dipercayai dilakukan selepas tular di media sosial satu rakaman wawancara bersama seorang wanita dari negara jiran yang pernah mendapat pertolongannya.
Wanita itu mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang pendakwah ketika kali pertama tiba di Malaysia, tahun ini.
Must-Watch Video