Viral
“Kalau Jumpa Beri Kejutan, Bayar Senyap-Senyap” - #HariBelanjaMakanFrontliner, Tanda Penghargaan Rakyat Malaysia
Sempena tamatnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), rakyat Malaysia mula mencari inisiatif untuk menunjukan tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan.
Mana tidaknya, sepanjang negara dilanda wabak pandemik COVID-19, barisan hadapan inilah yang bertungkus-lumus dan menjadi hero dalam membantu mengekang penularan wabak.
Ada yang tidak pulang ke rumah, terpaksa tinggalkan keluarga, isteri dan anak-anak. Malah ada juga yang sudah berbulan-bulan tidak pulang bertemu ibu bapa di kampung.
Itu belum dikira dengan doktor dan petugas kesihatan yang terpaksa menyarungkan Sut Perlindungan Diri (PPE) selama beberapa jam demi menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia tampil dengan hashtag #HariBelanjaMakanFrontliner sebagai salah satu tanda penghargaan buat hero-hero negara ini.
Cadangan itu dikemukakan dilaman Facebook dengan id @warga1984.
“Ini cadangan saya je. Saya nak ajak supaya ramai-ramai kita buat. #HariBelanjaMakanFrontliner
“Kalau kita sedang makan di mana-mana, kalau ternampak abang polis ke, nurse ke, Dr ke, askar ke, bomba dan lain-lain, kita ambil bil makanan yang mereka order tu, minta izin, bagitahu kita nak belanja mereka makan hari ni.
“Kalau tak nak mereka tahu, bayar je senyap-senyap. Ini tanda terima kasih dan rasa syukur kita sebab selama ni mereka yang berada di baris hadapan menjaga, mengawal, merawat untuk kebaikan kita semua.
“Dengan izin Allah, keadaan di negara kita menjadi lebih baik dari sebelumnya. Namun masih lagi perlu patuhi segala arahan sehingga negara kita bebas sepenuhnya dari wabak COVID-19.
“Mana lah tahu dengan kita buat baik dekat orang, Allah jadikan asbab untuk diangkat wabak COVID-19 ni.
“Buat mereka tersenyum dan gembira hari ini. Hari esok kita pula yang akan gembira. Kena selalu amalkan, bila sedang rasa happy belanja orang makan. Bila rasa sedih atau susah, keluar duit belanja orang makan. Pasti akan menyusul kebaikan yang lain,” tulisnya.
Dalam pada itu, cadangan tersebut ternyata menarik minat rakyat Malaysia yang rata-ratanya terkenal dengan sikap pemurah.
Sehingga kini, status tersebut telah dikongsi lebih 12,000 pengguna Facebook.
Terdahulu, Perdana Menteri Malaysia, Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan pada 9 Jun.
Bagaimanapun tindakan itu digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos depan.
Must-Watch Video