Tidak sampai sejam dimuat naik di Twitter, video seorang profesor yang didakwa menghina pelajar kurang berkemampuan atau golongan B40 menjadi tular hingga ditonton lebih 40,000 kali.

Menerusi video berdurasi 1.45 minit itu, profesor berkenaan pada awalnya bertanyakan kepada pelajar tersebut sekiranya dia mempunyai komputer riba atau tidak.

Namun, disebabkan pelajar tersebut tidak mempunyai komputer, profesor itu mula menyoal latar belakang pelajar itu termasuk pekerjaan ibu bapanya.

“Bapak kau kerja apa, mak dah tak ada? Bapak tak kerja? kau tak ada adik-beradik?

“Ko cakap dengan kakak kau, kalau ada gelang emas pergi jual gelang emas pergi beli komputer.

“Sebab tu kau tak boleh belajar dengan baik sebab kau tak ada komputer. Hanya RM800 saja beli komputer, apa masalah kau,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, profesor berkenaan turut menyatakan dia tidak boleh duduk dengan golongan B40.

“Sebab itu aku tak boleh duduk dengan B40, dia lebih memikirkan fasal lain daripada pelajaran,” katanya.

Kenyataan tersebut sekali gus mencetuskan kemarahan netizen yang kebanyakan bengang dengan tindakan ‘angkuh’ tersebut.

Malah, ada yang bertindak drastik apabila menyelongkar posting lama profesor berkenaan di Facebook.

Pun begitu, tidak kurang juga yang mempersoalkan mengapa pelajar tersebut masih tidak mempunyai komputer sedangkan dia sudah memasuki semester kelima.

Dalam pada itu, individu yang memuat naik video berkenaan turut meluahkan rasa kecewa apabila terasa terhina dengan kata-kata profesor tersebut.

“Kami semua masih rasa terhina dan terkesan dengan kata-kata dia, korang nilailah sendiri,” katanya.