“Kalau Mengandung Patut Duduk Rumah Je” - Wanita Hamil ‘Dirempuh’ Ketika Sertai Game RM10K Dikecam Hebat Netizen!
20/04/2022 06:07 MYT
Kontroversi membabitkan Insiden seorang wanita yang terjatuh lalu diasak dan ‘dirempuh’ oleh puluhan orang ramai yang memasuki sebuah kawasan padang nampak gayanya masih belum berakhir.
Menerusi perkongsian netizen di media sosial, kebanyakannya mengkritik tindakan dan keputusan wanita tersebut yang menyertai permainan diadakan oleh seorang YouTuber.
Malah, sekiranya betul ‘berbadan dua’, netizen mengatakan seharusnya mereka sudah dapat menjangkakan keadaan sesak dan berbahaya khususnya untuk wanita mengandung.
Selain itu, rata-rata netizen turut merasakan pihak penganjur seharusnya mengambil kira faktor keselamatan mereka yang hadir agar kejadian buruk tidak berlaku kerana jumlah yang menyertai permainan itu adalah berskala besar.
Pun begitu, difahamkan hal tersebut telah diselesaikan secara baik dan tenang oleh YouTuber itu apabila menawarkan untuk membawa wanita berkenaan ke hospital.
Difahamkan juga, YouTuber itu turut juga meminta maaf kepada pasangan itu walaupun awalnya keadaan agak tegang dan kecoh.
Terdahulu, wanita yang didakwa mengandung itu cuba untuk menyertai permainan yang diadakan oleh seorang YouTuber yang menawarkan ganjaran sebanyak RM10,000.
Namun, permainan tersebut dilihat bertukar ‘tragedi hitam’ apabila wanita itu terjatuh selepas dikatakan terlanggar sebuah meja ketika orang ramai berpusu-pusu masuk ke dalam kawasan padang.
Malah, ada beberapa rakaman yang sempat dirakam oleh netizen memperlihatkan suami wanita tersebut mengamuk dengan insiden tersebut.