“Kalau Nak Cakap Fasal Saya Dengan Farid, Mungkin Tak Taut Balik” - Diana Danielle
Asyikin Mayudin
13/10/2023 13:55 MYT
13/10/2023 13:55 MYT
Pelakon Diana Danielle mengakui faktor utama keputusan untuk kembali rujuk dengan suaminya iaitu aktor Farid Kamil disebabkan dua orang anak mereka iaitu Muhammad dan Nur Aurora.
Berkongsi mengenai perkara itu, Diana berkata dia bimbang sekiranya perpisahan yang dipilih sebelum ini akan membawa kemusnahan masa depan anak-anak.
“Bab perkahwinan ini dan dengan anak-anak bila kita rujuk balik, dia beyond perasaan cinta dan rindu… dia lebih kepada fikir tentang tanggungjawab dan amanah depan mata kita which is dua orang anak kami.
“Jadi saya fikir, bagi saya simple la adakah perpisahan ini akan bawa kebaikan untuk mereka ataupun membawa kemusnahan pada masa depan mereka?” katanya ketika menjadi tetamu di sebuah stesen radio baru-baru ini.
Pada perkongsian yang sama, Diana juga memberitahu dia dan Farid melalui fasa perubahan di mana mereka sempat memperbaiki perhubungan demi kebaikan anak-anak.
“Tapi bagi D, itu yang D fikir sebab pada mulanya ada beberapa perkara yang membuatkan D terpaksa mengambil keputusan perpisahan tapi bila kita dah go through, sebab perpisahan itu berlaku pada Mac dan September berlakunya rujukan itu balik.
“Jadi saya dengan Farid ini ada fasa yang sedikit perubahan yang berlaku dan ada banyak masa untuk kita orang tilik balik apa-apa dan sebagainya membuatkan D nampak memperbaiki perhubungan itu adalah lebih bagus untuk anak-anak daripada kita berpisah.
“Jadi sebenarnya dia beyond kalau nak cakap fasal saya dengan Farid, mungkin tak taut balik. Sebab hanya diri kita berdua saja kan. Jadi dia tak ada sebab yang beratlah,” kongsinya.
Dalam pada itu, Diana turut berkata dia juga mahu anak sulungnya yang bakal meningkat remaja dalam beberapa tahun lagi mempunyai keluarga yang sempurna.
“Bukan fasal ambil hati dah… bukan hanya cinta, rindu, rasa macam tanggungjawab dan nak rasa lengkap dengan anak-anak. Sebab anak saya dah 10 tahun, dan lapan tahun.
“Muhammad hanya ada enam ke lapan tahun saja untuk fasa remaja ini untuk merasa ada keluarga yang sempurna,” ujarnya.
Pada September lalu, Diana dan Farid mengumumkan mereka sudah rujuk semula selepas bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor pada Ogos lalu.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan mempunyai dua cahaya mara iaitu Muhammad dan Nur Aurora.