Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Kalau Nak Kata Kuala Lumpur Tak Selamat Mesti Ada Bukti & Kajian Terperinci” - Datuk Bandar KL

Khairil Khusyairi
25/08/2024 21:00 MYT
Satu pasukan khas ditubuhkan bagi mengkaji struktur tanah di sekitar kawasan Masjid India, di sini, bagi memastikan kawasan itu selamat.

Kawasan Kejadian Selamat

Menurut laporan Harian Metro, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, pasukan terdiri daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah diaktifkan.

Menurutnya, berdasarkan kajian awal pihak JMG mengesahkan tanah di lokasi kejadian adalah selamat dan sesuai untuk pembangunan.

"Saya mempengerusikan mesyuarat penyelarasan bersama agensi sahabat sebentar tadi dan berdasarkan kepada maklumat diperoleh, situasi sekitar Jalan Masjid India dan Kuala Lumpur amnya adalah terkawal serta selamat untuk dikunjungi.

"Warga kota juga boleh meneruskan rutin harian seperti biasa.

"DBKL mengaktifkan task force (pasukan khas) bersama pakar dalam bidang SAR termasuk JMG bagi menyemak dan melihat kawasan ini serta seluruh Kuala Lumpur," katanya dalam sidang media di lokasi kejadian tanah jerlus di Masjid India, pada Ahad.

Nafi KL Tak Selamat

Ditanya berhubung video tular di media sosial mendakwa Kuala Lumpur tidak selamat, beliau berkata, dakwaan itu mesti disokong bukti dan kajian terperinci.

"Saya berpendapat Kuala Lumpur ini sudah lama dibina dan selama ini ia selamat.

"Oleh itu kalau nak mengatakan tidak selamat mestilah ada menunjukkan bukti dan kajian yang terperinci," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat berkata, pihaknya akan mengutamakan keselamatan pasukan terutama anggota Unit Skuba yang terdedah kepada gas berbahaya di dalam lurang kumbahan.

Menurutnya, pasukan terbabit dibantu alat breathing metabolic simulator (BMS) bagi menyokong mereka semasa berada di dalam kawasan pencarian berkenaan.

Kata beliau, setakat ini tiada pegawai dan anggotanya dilaporkan mengalami kecederaan sepanjang menjalankan operasi itu.

Sumber: Harian Metro

#Kuala Lumpur #Tanah #Nafi #Selamat #jerlus #Sinkhole #Datuk Bandar
;