Menerusi kemas kini di Instagram, penyanyi Mizz Nina melahirkan rasa bersyukur dengan setiap ujian yang diberikan kepadanya, lebih-lebih lagi apabila ujian tersebut hadir ketika bulan Ramadan datang bertamu.

Dalam hantaran yang sama, Mizz Nina berkata, Allah SWT menguji orang-orang yang paling dikasihi Nya untuk melihat bagaimana kita memberi respons terhadap situasi-situasi yang dipertemukan oleh Nya.

A post shared by ???????? ????? (@officialmizznina)


“Banyak kali kita tersesat dan lupa tentang kebaikan dan pertumbuhan yang berlaku di sebalik ujian ini, bagaimana Allah menhapus dosa-dosa kita untuk setiap air mata yang jatuh, dan juga setiap kesakitan.

“Kesakitan yang kita rasakan dalam badan kita, menyucikan diri kita sendiri. Kadang-kadang kita perlu merasai kesakitan, supaya kita boleh ingat untuk menjadi hamba yang bersyukur, untuk memecahkan ego yang ada dalam diri, mengakui kekurangan kita dan berserah diri kepada Allah.

“Saya bersyukur dengan ujian yang datang, tepat pada Ramadan, saya berdoa agar Allah izinkan saya memasuki dan menyambut bulan Ramadan dengan hati yang lebih lembut, suci dan bersedia untuk beribadah dengan sebaik-baiknya. Sangat berbeza bergelar seorang ibu sekarang!,” tulisnya sambil memberitahu tidak sabar untuk menyambut kedatangan hari raya dengan anaknya, Musa.

Menerusi ruangan komen, pelbagai reaksi positif diberikan termasuk daripada rakan-rakan artis. Namun, yang menarik perhatian adalah komen yang ditinggalkan oleh pengacara Fara Fauzana.

“Selamat berpuasa Nina. Nanti kalau nak keluar berbuka berdua dengan Noh bagitau… Nanny Fafau on standby,” tulisnya.

Menerusi ruangan balas, Nina berkata: “Yes please!”

Awal bulan lalu, Mizz Nina dan suaminya, Noh Salleh memperkenalkan Musa sebagai anak angkat mereka. Keputusan untuk mengambil anak angkat dibuat selepas pelbagai rawatan untuk memperoleh zuriat sendiri gagal.

Mizz Nina dan Noh mendirikan rumah tangga pada 2 Julai 2011.

BACA: Rawatan IVF, IUI Tidak Menjadi, Noh & Mizz Nina Ambil Anak Angkat