Viral
"Kalau Nak Tolong, Tolonglah Betul-Betul" - Sajat Janji Bagi Kerjasama Selesaikan Isu Identiti
Penyanyi dan usahawan kosmetik, Nur Sajat sedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu identiti dirinya.
Selepas tercetus kontroversi memakai telekung dan purdah ketika mengerjakan ibadah umrah baru-baru ini, Sajat mahu diberi panduan jelas dan terperinci.
"Selama ini bukan saya tak mahu buat laporan perubatan seperti yang diminta, tetapi mereka (JAKIM) hanya suruh saya pergi ke hospital tanpa sebarang surat sokongan.
"Kalau betul JAKIM nak bantu, mereka sepatutnya mengeluarkan surat rasmi dan memaklumkan dengan siapa perlu saya rujuk.
"Kalau betul nak tolong, tolonglah betul-betul kalau tidak ia akan berpanjangan," katanya kepada Harian Metro.
Kontroversi itu menarik perhatian pelbagai pihak termasuk menteri dan mufti, malah mencetus kebimbangan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (Papuh) jika Arab Saudi menarik balik penggunaan visa pelancongan kepada jemaah Malaysia.
Menurut Sajat, dia pernah cuba menyelesaikan masalah berhubung identitinya dengan pihak berkuasa, bagaimanapun alasan diberi kesnya itu berprofil tinggi.
"Bukan saya tak cari jalan penyelesaian, setiap kali saya bawa isu ini ke pihak bertanggungjawab mereka memberitahu kes saya ini berprofil tinggi.
"Kalau diikutkan, ibu bapa saya sudah memberi kerjasama sebaik mungkin sejak saya dilahirkan.
"Namun, sekarang saya yang perlu menanggung semua ini sendirian. Saya juga pernah kena tipu," katanya.
Dalam masa sama, Sajat turut memohon supaya isu identitinya diselesaikan sekarang selagi ibu bapanya masih hidup.
"Ibu bapa saya boleh mengesahkan siapa saya. Tiada orang lain," katanya.
Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof enggan mengulas lanjut ketika ditanya apa tindakan yang akan diambil terhadap Sajat dan menyifatkan kes itu hanya isu kecil.
Sumber: Harian Metro
Must-Watch Video