“Kalau Orang Lain Nampak Filem Dua Garis Biru Angkat Isu Sensitif, Saya Pula Nampak Sudut Positif” – Angga Yunanda

Fiza Kamarudin
Oktober 8, 2019 07:39 MYT
Teraju utama filem Dua Garis Biru, Angga Yunanda mengaku isu sensitif yang diangkat menerusi filem tersebut membuatkan dirinya teruja untuk memegang watak Bima.
Menurut aktor kelahiran Lombok, Indonesia berusia 19 tahun itu disaat filem tersebut menjadi kontroversi di Indonesia dia berasakan pengarah, Gina S. Noer seorang sutradara yang berani.
“Dari awal lagi ketika membaca skrip filem ini saya sudah teruja. Saya beritahu kepada pengarah yang saya suka tentang isu yang diketengahkan.
“Walaupun isu sebegini malu untuk dibincangkan secara terbuka oleh masyarakat, tetapi bagi saya sudah tiba masanya sesetengah pihak membuka mata tentangnya.
"Kalau mereka kata filem ini banyak menyentuh isu sensitif dan membawa mesej negatif, mereka salah kerana saya nampak banyak yang positif dan mempunyai banyak pengajaran di dalamnya.
“Saban hari masalah sosial mengenai remaja di bawah umur semakin membimbangkan, dalam filem ini semuanya ‘dibuka’ supaya kita (remaja) lebih berhati-hati dan menjaga batas pergaulan,” katanya
kepada Gempak.
Tambah Angga, pada mulanya dia agak kekok untuk melakonkan adegan ‘mesra’ dengan Zara JKT48, namun keserasian yang wujud di antara mereka, memudahkan kerja.
“Sebenarnya kalau orang nampak saya bersahaja dalam filem ini, sebenarnya perasaan itu susah nak digambarkan.
“Setiap adegan adalah cabaran buat saya. Watak Bima menjadikan saya seorang yang lebih patuh kepada ibu bapa dan membuatkan saya lebih menghargai mereka,” katanya.
Bagaimanapun kata Angga, dia bertuah kerana pelakon berpengalaman seperti Cut Mini, Lulu Tobing dan Arswendi banyak membantunya menghidupkan watak Bima.
“Mereka nama besar dalam industri, tetapi tidak lokek berkongsi ilmu tentang lakonan. Saya bertuah dapat bersama mereka.
“Ketika sesi membaca skrip, mereka memberi nasihat kepada saya untuk percaya dengan kemampuan diri dan jujur dalam setiap lakonan.
“Tips itu saya pegang sehingga sekarang,” ujarnya yang menjadikan aktres Cut Mini sebagai mentor dalam bidang lakonan.
Dua Garis Biru mengisahkan tentang dua pelajar sekolah berusia 17 tahun, iaitu Dara (Zara JKT48) dan Bima (Angga Yunanda) menjalinkan hubungan cinta dan akhirnya terlanjur.
Filem berdurasi 103 minit ini menjentik emosi penonton apabila Dara dan Bima terpaksa melalui beberapa perkara yang tidak pernah dibayangkan oleh remaja berusia 17 tahun.
Selain Zara dan Angga, Dua Garis Biru turut menampilkan nama-nama besar seperti Cut Mini, Dwi Sasono, Lulu Tobing, Arswendy Bening Swara, Rachel Amanda, Maisha Kanna, Shakira Jasmine dan Ligwina Hananto.
Adakah Dara dan Bima mampu mengatasi rintangan selepas bergelar ibu dan bapa disaat masih bergelar pelajar sekolah?
Saksikan Dua Garis Biru di pawagam berhampiran anda sekarang!
#Filem #Filem #Nusantara #Dua Garis Biru