Drama bersiri I-Tanggang akhirnya melabuhkan tirai. Episod 12 iaitu episod akhir bagi siri tersebut telah pun ditayangkan menerusi Astro Citra semalam.

Syafiq dan Khay dibebaskan manakala Esra pula disabitkan kesalahan atas cubaan untuk membunuh ibu Khay iaitu Erma.

Sungguhpun tiga sekawan yang bertemu di alam maya itu mendapat pengakhiran masing-masing, Erma yang pada awalnya menuduh Khay menikam dirinya turut diberkas oleh pihak berkuasa.

Hal ini disebabkan oleh salah laku Erma pada masa lampau sehingga menyebabkan kematian rakan baiknya sendiri, selain hal-hal penderaan yang dilakukan terhadap anaknya sendiri.

Pada penghujung cerita, kelihatan Syafiq sudah kembali ke sekolah, Khay tidak lagi duduk di atas kerusi roda gembira bermain bola sepak bersama bapanya sementara Esra dengan berat hati terpaksa menerima hukuman setimpal dengan apa yang telah dilakukannya.



Ketika ditayangkan, I-Tanggang sohor kini di tangga teratas carta Twitter Malaysia dengan sekitar 2,954 ciapan dikongsikan pada satu masa.

Meninjau komen-komen yang ditinggalkan oleh netizen, ramai memuji drama bersiri ini secara keseluruhan dan berpuas hati dengan kesudahannya.

“Salah satu drama Melayu terbaik yang pernah saya tonton. Pelakon semua sangat-sangat best even sampai ke sekecil-kecil watak pun,” ujar seorang pengguna Twitter.

“Kalau orang tanya drama Melayu apa yang aku suggest untuk tengok, aku akan suggest cerita I-Tanggang. Jalan cerita menarik, lakonan semua mantap. Tambah Esra tu. Kalau depan mata tu rasa macam nak terajang dah muka dia,” kata seorang lagi penonton.

“By the way aku puas hati gila bila Esra kena masuk lokap,” kongsi seorang penonton yang bersetuju dengan pengakhiran kisah Esra menerusi I-Tanggang.

Dalam pada itu, ada juga yang turut memuji siri I-Tanggang secara keseluruhan.

“This is like the first time aku satisfied gila dgn drama Melayu, soundtrack kena, cinematography kena, penjiwaan watak kena, tak payah pon cari insta famous ke apa, pelakon sedia ada memang berbakat, memang aku akan tengok yang berkualiti je,” katanya.