Drama Nur musim kedua telah pun melabuhkan tirainya pada minggu lalu.

Pelbagai reaksi diberikan, ada yang suka dan tidak kurang juga ada yang melahirkan rasa geram terhadap drama rantaian terbabit.

Namun, dalam pada peminat bercakap-cakap tentang Nur 2 ini, pastinya ramai berharap drama siri ini akan disambung kepada musim ketiga bukan?

Gempak sempat menemui penyanyi dan penulis lirik, Amylea Azizan di Rakaman Riuh Raya Radio Suria di Putrajaya baru-baru ini dan dia telah memberi sedikit bayang-bayang mengenai kewujudan sekuel Nur 2.

Menurut Amylea, projek kesinambungan Nur ini telah dibincangkan oleh pelbagai pihak termasuk dirinya sejak tahun lepas lagi.

Namun jelasnya, perkara itu masih belum boleh dipastikan kerana apa saja kemungkinan boleh berlaku.

"Saya harap apa yang diimpikan semua menjadilah. Tapi kita tak tahu, benda ni boleh jadi 'ya', tapi mungkin selepas itu esoknya boleh jadi 'tidak'.

"Senang cerita, kalau peminat Nur nak lagi, doa-doakanlah. Kita harapkan yang positif, tapi jika tiada tak apa kita 'move on' cerita lain," katanya.

Terdahulu, Amylea sekali lagi diberi kepercayaan untuk menghasilkan runut bunyi untuk Nur 2.

Menerusi drama itu sebanyak lima lagu baru telah dibuat khas oleh Amylea selaku penulis lirik dan Farouk Abdul Razak selaku komposer.