Pelakon dan juga bekas ratu cantik Malaysia 2009/2010, Thanuja Ananthan berpendapat setiap individu perlu lebih peka dan berhati-hati dengan perkongsian yang dimuat naik di platform media sosial.

Menurut Thanuja, ini kerana platform itu merupakan medan komunikasi bersama peminat selain menjadi tumpuan kepada pelayar media sosial.

“Saya rasa sekiranya kita memegang status sebagai selebriti atau pun mempunyai jumlah pengikut yang besar memang sepatutnya lebih berhati-hati melontarkan pendapat atau berkongsi sesuatu di platform media sosial sejak dahulu lagi.

“Tetapi sejak kita berdepan dengan pandemik ini, saya rasa kehidupan kita juga agak berubah di mana banyak masa dihabiskan dirumah dan secara tidak langsung tumpuan diberikan lebih kepada media sosial.

“Perkara itu juga akan membuatkan orang ramai lebih peka terhadap setiap posting yang dimuat naik.

“Jadi tolonglah lebih berhati-hati dengan apa yang ingin kita dikongsikan. Kalau rasa sedang emosi, tolonglah jauhkan diri dari media sosial.

“Saya juga pernah berkongsi satu posting yang mengatakan jika anda tidak ada perkara baik yang ingin dikongsikan di media sosial, jangan kongsi.

“Kalau boleh setiap kali nak memuat naik sesuatu entri, tanya pada diri terlebih dahulu adakah posting tersebut memberikan manfaat, perkara positif atau pun semangat kepada seseorang. Kalau tidak, lebih baik jangan post,” katanya ketika dihubungi Gempak.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai isu tular berkaitan dengan Miss Universe Malaysia, Samantha Katie James, Thanuja memilih untuk tidak mengulas lanjut.

“Berkenaan dengan Samantha, saya tidak mahu mengulas lanjut kerana sebelum ini saya sudah komen di Insta Story saya,” ujarnya.

Terdahulu, Thanuja merupakan bekas ratu cantik Malaysia 2009/2010 dan turut aktif berkomunikasi bersama sahabat dan para pengikutnya menerusi laman sosial peribadinya.

Selain memiliki foto-foto yang cantik, Thanuja juga sering berkongsi kata-kata semangat buat pengikut Instagramnya.