HIBURAN

"Kalau Saya Di Tempat Mereka, Belum Tentu Saya Boleh ..." - Amaris

Amri Hassan 07/08/2025 | 05:50 MYT
Melihat sendiri ketabahan luar biasa anak-anak kecil yang berjuang melawan kanser, pelakon Putra Amaris terpanggil untuk memainkan peranannya.

Bersama Biofitrah (M) Sdn Bhd, syarikat pengeluar produk pencuci dan pelembut pakaian, Amaris kini giat menggerakkan kempen membeli sambil menderma demi membantu pesakit kanser kanak-kanak di bawah kelolaan Pertubuhan Kebajikan Adina (Adina).

Melalui label PowerRein dan SoftRein, masyarakat bukan sahaja dapat menikmati produk penjagaan pakaian yang berkualiti, tetapi turut menyumbang kepada dana keperluan golongan kecil yang sedang melalui ujian berat dalam hidup mereka.

Amaris yang juga duta Biofitrah mengakui inisiatif ini lebih daripada sekadar promosi produk. Ia datang dari hati yang ingin berkongsi rezeki.

“Ini merupakan tanggungjawab yang saya galas bersama Biofitrah. Jika sebelum ini Biofitrah bersama sama saya dalam program amal sempena Ramadan, kerjasama ini kami teruskan untuk membantu pesakit kanser kanak-kanak.

“Apa yang kami lakukan ini bukanlah kerana bisnes semata-mata, tetapi juga sumbangan amal yang berterusan.

“Untuk itu, kami amat memerlukan sokongan daripada mana-mana syarikat korporat, masyarakat dan pihak media bagi menjayakan program ini sekaligus meringankan beban anak-anak yang sedang menderita menghidap kanser,” kata Amaris pada Majlis Pelancaran dan Perasmian Pembukaan Kilang Kedua Biofitrah di Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.



Melihat sendiri penderitaan kanak-kanak pesakit kanser membuatkan Amaris lebih insaf dan tersentuh.

“Sungguh besar ujian buat mereka. Kalau saya di tempat mereka, entah macam mana. Belum tentu saya boleh sekuat mereka.

“Dalam masa yang sama, ini juga ujian buat kita yang dilahirkan sempurna, sama ada kita bersyukur atau tidak. Adakah kita peka dan prihatin terhadap insan-insan lain yang memerlukan bantuan kita.

“Jadi atas dasar itulah, saya dan Biofitrah mengambil inisiatif untuk berkongsi rezeki dengan mereka,” tambahnya.




Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Biofitrah, Aman Rasyidi Mohd Noor menyatakan bahawa usaha ini seiring dengan komitmen berterusan syarikat dalam menjalankan program tanggungjawab sosial korporat.

“Sebenarnya sudah lebih tiga tahun Biofitrah aktif terlibat dalam kerja amal. Cuma sebelum ini kami banyak bersama badan-badan NGO misalnya membantu mangsa banjir.

“Sejak tahun lepas, kami mula bersama Amaris. Amaris bukan sahaja sebagai duta, tetapi juga ‘tulang belakang’ kami dalam menganjurkan program-program amal.

“Saya percaya, dalam kita berniaga, pasti ada bahagian orang lain. Setiap pembelian Softrein RM1 akan diserahkan kepada Adina. Manakala setiap pembelian PowerRein RM1 akan disumbangkan kepada Muslim Care.

“Insya Allah, selepas ini kami juga merancang untuk adakan program CSR artis-artis veteran yang memerlukan,” jelasnya.



Pengerusi Adina, Nurdieana Mohd Mardzi turut meluahkan penghargaan kepada Biofitrah dan Amaris yang secara konsisten menyokong kebajikan pesakit kanser bawah seliaan mereka.

“Di kesempatan ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Biofitrah dan Amaris kerana sentiasa peka dengan anak-anak bawah Adina. Sebelum ini sudah beberapa kali kami bekerjasama.

“Bercakap tentang anak-anak kanser ini, terdapat pelbagai jenis kanser yang mereka hidap seperti kanser darah, otak, mata, saraf, buah pinggang dan sebagainya,” katanya.

Nurdieana turut berkongsi kisah menyayat hati seorang pesakit Adina, adik Muhammad Firash Ukail Saiful Anuar, 9 tahun, yang menghidap kanser mata atau dikenali sebagai Malignant Medullaepithelioma.

“Sedikit perkongsian, adik Firash sudah tidak memerlukan rawatan di hospital lagi kerana sudah berstatus Paliatif.

“Paliatif ini bermaksud Firash tidak perlu menjalani apa-apa rawatan lagi sebaliknya hanya bergantung kepada doa dan keajaiban.

“Doktor cakap, berilah apa sahaja yang dia nak makan. Mak ayah dia akan penuhi apa sahaja permintaan anaknya itu.

“Walaupun dia tahu tahap sebenar kansernya itu, dia tetap jalani kehidupan dengan ceria. Mak ayahnya pun kuat sekaligus membuatkan dirinya kuat untuk jalani kehidupan seharian.

“Dalam masa yang sama, kami di Adina akan melakukan yang terbaik demi meringankan beban mereka. Ini kerana, menjaga anak-anak kanser ini memerlukan lebih perhatian dan kos penjagaan.

“Kebiasaannya kami dapat senarai keperluan mereka daripada pihak hospital. Antara keperluan asas untuk mereka adalah lampin pakai buang dan susu bernutrisi yang bersesuaian,” katanya.

Ketika ini, lebih 350 pesakit kanser kanak-kanak bernaung di bawah seliaan Adina. Bagi yang ingin menyumbang, anda boleh berbuat demikian ke akaun CIMB Islamic 8605749460 atas nama Pertubuhan Kebajikan Adina.

Majlis pelancaran kilang kedua Biofitrah yang berlangsung di Nilai Utama Enterprise Park turut diserikan dengan kehadiran Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta wakil MARA, NGO Muslim Care Malaysia Society dan Adina Charity Circle.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran anak-anak tahfiz dari Maahad Tahfiz Al Quran Misbahul Falah. Ia menjadi simbolik kepada keberkatan dan tanggungjawab sosial yang kini dipikul bersama antara dunia korporat dan masyarakat.
#Kanser #Amaris #Pesakit #Biofitrah