"Kalau Saya Nak Pinjam Akak RM50 Untuk Beli Lauk Sementara Duit BPN Masuk, Boleh Tak Kak?" - Abby Abadi Dedah Ramai Mesej Minta Tolong, Tapi...

ZULHILMI JALIL
April 10, 2020 05:58 MYT
Pelakon Abby Abadi menyatakan hasratnya untuk melancarkan satu tabung khas bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik, lebih-lebih lagi bagi mereka yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Abby, dia terpanggil untuk berbuat demikian kerana mahu mengajak orang ramai turut serta meringankan bebanan mereka yang memerlukan memandangkan ramai yang meminta bantuan daripadanya.
"Terpaksa juga bercerita supaya orang yakin dengan saya walaupun segan sebenarnya. Saya buat kerja ni (hulur bantuan) dah lama.
"Musim PKP ni saya berushaa berkongsi dan menyumbang juga tapi sebab kemampuan saya terbatas jadi bila ramai yang datang memohon bantuan dengan jumlah yang lebih besar, saya tak terdaya," jelasnya.
Dalam posting tersebut, Abby turut berkongsi beberapa paparan mesej yang diterimanya daripada orang ramai yang meminta pertolongan daripadanya.
"Nak tanya, kalau saya nak pinjam akak RM50 untuk beli lauk sementara duit BPN (Bantuan Prihatin Nasional) masuk ni, boleh tak kak?," tanya seorang netizen.
"Saya perlukan RM60 sahaja, tapi Kak Abby bagi saya lebih. Insya-Allah ada rezeki saya lebih saya akan cari Kak Abby nanti," luah individu yang meminta bantuan Abby.
Prihatin dengan nasib mereka yang kurang bernasib baik khususnya dalam kalangan pengikutnya, Abby berharap idea mewujudkan tabung itu menerima respons positif.
"Saya cadangkan (tabung) sebab terlalu ramai yang perlu dibantu dan saya tak sekaya Datuk Seri Aliff Syukri. Kehidupan saya sederhana sahaja.
"Tanggungjawab banyak dan tanggungan pun besar. Bantu manja-manja bolehlah. Sekarang saya ajak berjemaah dan perlukan kasih sayang semua untuk bantu mereka yang memerlukan. Ramai kot! Marilah sama-sama buat kebaikan," katanya.
Apapun, sepanjang tempoh PKP ini, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!
#Abby Abadi #Perintah Kawalan Pergerakan #Tabung