Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Kalau Saya Sakit Bahu, Anak Saya Sakit Kanser" - Pesilat Negara Sebak, Netizen Titip Kata-Kata Semangat!

Amri Hassan
16/05/2022 07:50 MYT
Meskipun misi memburu emas di pentas Sukan SEA ke-31 tidak kesampaian, tetapi semangat juang yang dipamerkan jaguh silat negara, Mohd Al-Jufferi Jumari tidak langsung mengecewakan rakyat Malaysia.

Di sebalik pingat gangsa yang disumbangkan oleh juara dunia tiga kali itu pada saingan 70-75 kilogram (kg), tersimpan kekuatan dan kasih sayang seorang bapa terhadap anaknya.

Lapor Awani, pemenang pingat emas empat kali pada temasya Sukan SEA itu mendedahkan, anaknya, Furqan Al Haq yang menghidap kanser menjadi pembakar semangat untuk dia berjuang sehingga ke titik akhir.

Bagi Mohd Al-Jufferi, kecederaan bahu yang dialaminya tidak seberapa jika dibandingkan dengan beban yang ditanggung anak lelakinya itu.

"Saya kuat sebab anak, kalau saya sakit bahu, anak saya sakit kanser... dia lagi kuat, dia budak kan.

"Sebab dia sakit umur 2 atau 3 tahun dah kena kanser. Kena (jalani) kimoterapi, tiap-tiap hari saya pergi hospital... saya tengok dia lemah, letih... saya menangis, dia usap. Dia kata, 'ayah jangan nangis, Haq okay'. Itu je dia cakap.

"Tetapi bila saya kena (sakit) bahu macam ini, tak akan saya tak kuat. Allahuakbar, itu sajalah yang saya fikir. Sebab itu saya nak lawan, tak ada yang lain, anak saya," katanya dalam rakaman video yang dikongsi wartawan Astro Arena, Syakirah Zulkifly di laman Twitter, pada Ahad.

An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Menerusi rakaman tersebut, jelas kedengaran nada sebak pada suara pesilat berusia 30 tahun itu .

Mohd Al-Jufferi, yang membuat penampilan sulung bagi kategori 70-75kg tewas kepada wakil Singapura, Abdul Raazaq Abdul Rashid dalam saingan separuh akhir di Gimnasium Bac Tu Liem, pada Ahad.

Dia mengalami kecederaan di bahu kanan ketika pusingan kedua pada saingan suku akhir sebelum berjaya melayakkan diri ke pusingan separuh akhir.



Sementara itu, Mohd Al-Jufferi menerusi hantaran di Instagramnya percaya kegagalan bukanlah pengakhiran buat segalanya.

"Terima kasih kepada semua yang telah menyokong dan berdoa atas perjuangan saya dan terima kasih pada isteri dan anak-anak saya.

"Saya reda dengan takdir ini, seribu perasaan yang tidak terkata. Ya Allah sesungguhnya aku berserah kepada mu. Saya percaya 'kegagalan bukanlah akhir dari segalanya'," tulisnya dalam hantaran tersebut.



Pada edisi sukan dwitahunan sebelum ini, Mohd Al-Jufferi menguasai kelas E (65-70kg) apabila meraih emas pada Sukan SEA 2011 di Indonesia, Myanmar (2013), Singapura (2015) dan Kuala Lumpur (2017).

Meninjau di Twitter, ramai pengguna media sosial yang tampil mengutuskan kata-kata semangat buat Mohd Al-Jufferi. Malah, ada yang luluh hati melihatnya berlawa dalam kesakitan.

"Tak sanggup tengok dia berlawan dalam keadaan menahan sakit. Semoga Allah berikan kesembuhan dan angkat penyakit kanser anaknya.

"Aku paling pantang tak suka bila kesenian silat dan warisan dari turun temurun nusantara diperbuat jadi begini dan inilah akibatnya bila dipertandingkan di kejohanan sukan sebegini last-last jadi macam ni la. Elok lepas ni dipertimbangkan balik.

"Geram rasa, dah berapa kali peserta Malaysia diperlakukan sebegini. Mana pihak bertanggungjawab?

"Tak ada bro, kalau tak dislocate, mesti boleh menang. Orang lain dislocate belum tentu akan masuk gelanggang macam bro!

"Tetap emas di mata kami!," tulis beberapa pengguna.
#Viral #Anak #Kanser #Cedera #Sukan SEA #Pesilat #Bahu #Dislocate #Hanoi #Mohd Al-Jufferi
;